Empat Lelaki Indonesia Antara Lima Suspek Kes Bunuh, Samun

JOHOR BAHARU: Polis berjaya menahan empat lelaki rakyat Indonesia dan seorang wanita tempatan yang dipercayai terlibat dalam satu kes bunuh dan 15 kes samun di sekitar bandar raya ini dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Johor Jaya, di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata empat lelaki berumur 30 hingga 45 tahun dan wanita berumur 50 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.30 pagi.

"Ketika serbuan dilakukan, seorang daripada suspek telah mengacukan sepucuk pistol ke arah pihak polis. Ini menyebabkan polis terpaksa melepaskan dua das tembakan yang kemudian mengenai lutut kiri suspek berkenaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, Isnin.

Mohd Mokhtar berkata polis kemudian berjaya merampas dua pucuk pistol semi auto bersama 17 butir peluru dan sebuah kereta di kediaman berkenaan.

Beliau berkata semakan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan polis percaya dapat menyelesaikan satu kes bunuh dan 15 kes samun di sekitar Seri Alam, Johor Baharu Utara, Nusajaya dan Kualijaya dengan penahanan lima suspek terbabit.

Katanya kelima-lima suspek ditahan reman sehingga esok.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata polis turut percaya dapat menyelesaikan satu kes bunuh, satu cubaan bunuh dan enam kes samun di kawasan Seri Alam di sini dengan penahanan seorang lelaki, bulan lepas.

Beliau berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di Hospital Sultan Ismail di sini kira-kira pukul 3.20 pagi, 23 Feb lepas.

"Polis merampas sepucuk pistol dan lima butir peluru daripada lelaki terbabit dan siasatan mendapati dia mempunyai tujuh rekod jenayah termasuk bunuh, samun dan dadah," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain