suria

Pendedahan Surat Tun M Kepada Israel Kecewakan Pembangkang

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan menyiarkan kepada umum tiga pucuk surat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada tiga Perdana Menteri rejim Tel Aviv, semalam pasti sangat mengecewakan pembangkang.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berkata surat yang jelas menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kekejaman rejim Zionis itu pastinya mematahkan fitnah yang direka-reka oleh pembangkang terhadap kerajaan.

"Pasti menitis air mata pembangkang. Pembangkang pasti kecewa kerana tiada lagi alasan untuk mereka menjawab isu Anwar (Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang menyokong keselamatan Israel.

"Seingat saya, Anwar apabila melakukan kesalahan atau berbuat perkara buruk, alasannya orang lain pun buat. Beliau menganggap semua keburukannya juga ada pada orang lain," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama, pada Khamis.

Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana berani mendedahkan surat Dr Mahathir kepada tiga perdana menteri rejim Tel Aviv.

"Kini puak Anwar terpaksa kena proses fitnah baru pula," katanya mengenai surat itu, yang jelas menunjukkan Malaysia menolak hubungan diplomatik dengan rejim Zionis itu malah tidak mengiktiraf rejim penjajah yang menzalimi rakyat Palestin.

Semalam, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dipetik sebagai berkata ketiga-tiga surat itu ialah bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan Malaysia tidak konsisten dalam pendirian dan dasarnya berhubung Palestin.

Ketiga-tiga surat itu yang masing-masing bertarikh 21 Dis 1993, 14 Mac 1997 dan 8 Jun 1999 ditujukan kepada tiga Perdana Menteri rejim itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melawat Melaka pada 24 Feb dan Sekinchan, Selangor pada 26 Februari telah menyatakan kesediaan kerajaan Malaysia untuk menyiarkan kepada umum beberapa pucuk surat Dr Mahathir kepada Perdana Menteri rejim Zionis.

Artikel Berikut

Artikel Lain