191 Rumah Dan Gerai Makan Rosak Dalam Kejadian Ribut Di Sungai Petani - Semasa | mStar

191 Rumah Dan Gerai Makan Rosak Dalam Kejadian Ribut Di Sungai Petani

SUNGAI PETANI: Sebanyak 191 rumah dan gerai makan di kawasan Pinang Tunggal dekat sini yang membabitkan lebih 10 kampung serta taman perumahan mengalami kerosakan dalam kejadian ribut petang Jumaat.

Kejadian kira-kira 4.30 petang itu berlaku ketika hujan lebat dan dianggarkan 764 ahli keluarga terlibat.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda Muhamad Md Nor ketika dihubungi Bernama berkata sehingga kini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 191 premis mengalami kerosakan terutama pada bahagian bumbung dan nilai kerugian dianggar RM100,000.

"Bilangan premis yang rosak ini termasuk rumah kampung, rumah taman, kandang lembu, kandang kambing, bengkel besi dan gerai makanan. Kami masih menjalankan siasatan dan kerja-kerja membanci," katanya.

Muhamad berkata kawasan yang banyak mengalami kerosakan ialah di Kampung Permatang Berangan yang melibatkan kira-kira 130 buah rumah.

Beliau berkata setelah selesai menjalankan siasatan dan kerja bancian keseluruhan, pihaknya akan mengajukan hal itu kepada Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri (ICU) untuk tindakan susulan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain