suria

1,000 Pelabur Mohon Wang Dikembalikan Dari Noradz Travel

KUALA LUMPUR: Seramai 1,000 pelabur yang membuat pelaburan dalam syarikat Noradz Travel & Services pada Jumaat mengemukakan permohonan di Mahkamah Sesyen di sini untuk mendapatkan semula wang pelaburan mereka.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Rozana Ali Yusof menetapkan 28 Mei untuk sebutan kes bagi mengetahui status permohonan pelabur itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman mencadangkan kepada mahkamah supaya Bank Negara Malaysia (BNM) membahagikan kesemua pelabur itu kepada beberapa kumpulan berikutan terdapat ramai pelabur yang hadir.

"Ini menyukarkan mahkamah untuk mendengar keterangan mereka kerana terlalu ramai," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya BNM mengenal pasti status pelaburan kesemua pelabur itu dalam syarikat tersebut bagi mengelakkan sebarang penipuan.

Pegawai Pendakwa, Fahmi Abd Moin dari BNM turut bersetuju dengan cadangan tersebut dan memohon tarikh sebutan untuk mengetahui status permohanan pelabur itu.

Mahkamah pada Jumaat dijadualkan mendengar notis tuntutan pelabur itu yang memohon supaya mahkamah memutuskan sama ada wang pelaburan itu perlu dikembalikan kepada pelabur atau diserahkan kepada kerajaan. Pelabur itu membuat tuntutan tersebut selepas Mahkamah Sesyen di sini menjatuhi hukuman penjara dan denda terhadap pemilik Noradz, Datuk Adzhar Sulaiman, 57, dan dua anak perempuannya Noradzma, 36, dan Noradzrin, 27, kerana menerima deposit tanpa lesen sah berjumlah lebih RM100 juta dan kegiatan pengubahan wang haram RM59 juta antara Julai 2006 dan Januari 2009. Pada 3 Oktober 2011, Adzhar dihukum penjara dua tahun dan didenda RM1 juta bagi kesalahan menerima deposit tanpa lesen dan Noradzma dipenjara setahun dan didenda RM500,000 bagi kesalahan yang sama.

Manakala bagi kesalahan pengubahan wang haram, Adzhar dipenjara lima tahun, Noradzma dipenjara tiga tahun dan Noradzrin dipenjara setahun.

Sementara itu, Noradz Travel & Services yang merupakan syarikat berasaskan pelancongan yang diterajui oleh tiga beranak itu juga turut didenda RM5 juta kerana kesalahan menerima deposit tanpa lesen yang sah. - BERNAMA

Artikel Lain