suria

PDNKK Johor Rampas 7,990 Kg Minyak Masak Subsidi Cuba Diseleweng

JOHOR BAHRU: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Johor merampas 7,990 kilogram minyak masak bersubsidi yang cuba dijual di pasaran terbuka dalam serbuan di sebuah kilang di Taman Kota Masai di sini, Rabu.

Timbalan Pengarahnya Abdul Hamid Abu Bakar berkata, serbuan dilakukan pada pukul 11 pagi oleh tujuh anggota penguatkuasa selepas mendapati premis itu dijadikan pusat pengumpulan minyak masak paket sekilogram yang dibawa pemborong dari Melaka.

"Bertindak atas risikan PPDNKK Melaka, kita menemui 470 kotak berisi minyak masak paket di dalam kilang yang berselindung di sebalik perusahaan membaiki kapal itu dengan 361 kotak sudah dibuka manakala 109 kotak lagi belum dibuka.

"Kesemua 361 kotak berisi 6,137 kilogram minyak masak itu telah diisi ke dalam bekas simpanan sebelum disedut ke dalam sebuah lori tangki," katanya kepada pemberita, di sini, Rabu.

Abdul Hamid berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 40-an dan lima pekerja dipercayai rakyat Myanmar berumur 25 hingga 32 tahun untuk membantu siasatan.

Katanya, kesemua minyak masak, lapan bekas simpanan, satu mesin penyedut berserta lori tangki kini disita.

Beliau berkata, pihaknya percaya kegiatan itu sudah dilakukan sejak dua bulan lepas. - BERNAMA

Artikel Lain