suria

Pelajar Polimas Maut Dalam Kemalangan Di Jitra

JITRA: Seorang pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas) maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kenderaan penyelenggara lebuh raya dan kemudian dilanggar sebuah pikap di kilometer 34.5 Lebuhraya Utara Selatan, Selasa.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Ibrahim Mohd Yusuf berkata kejadian itu berlaku pada 9.12 pagi semasa pelajar terbabit, Muhamad Izam Azhar Khairuddin, 20, yang menuju ke arah utara dipercayai leka melihat lori pasir dari arah bertentangan lalu terbabas ke tepi jalan.

"Mangsa tidak menyedari terdapat sebuah kenderaan penyelenggara lebuh raya di hadapannya lalu merempuh kenderaan tersebut.

"Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh ke kiri jalan sebelum dilanggar oleh pikap yang lalu di lorong itu," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata Muhamad Izam Azhar meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami cedera parah dan mayatnya dihantar ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat.

Ibu saudara mangsa, Aishah Ibrahim, 50, berkata anak saudaranya yang mengambil jurusan Kejuruteraan Pembuatan itu baru sahaja menjalani latihan industri di sebuah kilang di Napoh dekat sini.

Mayat Muhamad Izam Azhar dikebumikan di Kampung Lepai, Jalan Langgar, Alor Setar selepas solat Asar. - BERNAMA

Artikel Lain