suria

Prosedur Lebih Ketat Elak Penyelewengan Dalam Stor Farmasi Hospital Kerajaan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan menimbang prosedur yang lebih ketat bagi mengelakkan penyelewengan dalam stor farmasi di hospital-hospital kerajaan, berikutan kes kecurian ubatan bernilai lebih RM1 juta di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata audit dalaman akan dilaksanakan berhubung kejadian itu, bagi mengenal pasti punca dan mengelakkan kejadian yang sama berulang.

Dalam masa yang sama beliau meminta polis agar segera menyelesaikan kes tersebut agar ubat-ubatan itu dapat dipulangkan untuk diperiksa dan digunakan sebelum tiba tarikh luputnya.

"Yang penting polis siasat cepat dan pulangkan cepat ubat kita sebab ia mahal, kita perlu pastikan keadaannya baik untuk digunakan oleh pesakit," katanya kepada pemberita pada majlis penyempurnaan struktur konkrit projek Insitut Kanser Negara (IKN) di sini Khamis.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Selasa lepas, polis mengumumkan kes kecurian 16 jenis ubat-ubatan bernilai lebih RM1 juta itu dianggap selesai setelah polis menahan seorang lagi suspek, yang juga petugas Hospital Temerloh, Pahang pada Ahad lepas.

Ia menjadikan jumlah yang ditangkap seramai tiga orang termasuk dua staf HKL, iaitu pencuci lantai warga asing dan kakitangan farmasi berkenaan.

Kejadian curi ubatan itu berlaku pada 27 Dis lalu dan polis berjaya menemui semula ubat-ubatan berkenaan yang disorok dalam tong sampah di kawasan letak kereta Kompleks Kerajaan Jalan Duta, Kuala Lumpur pada pukul 7.30 petang, Ahad lepas. - BERNAMA

Artikel Lain