suria

KDN: Tiada Unit Perisikan

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Jumaat menafikan wujud Unit Risikan Khas Bahagian Keselamatan Negara di kementerian itu yang memberi kuasa kepada anggotanya menjalankan aktiviti penguatkuasaan atau kutipan wang daripada mana-mana pihak.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berkata kegiatan itu terbongkar berikutan penahanan dua individu oleh polis kerana menyamar sebagai anggota Unit Risikan Khas daripada Bahagian Keselamatan Negara, KDN, baru-baru ini.

"Kedua-dua individu telah memperkenalkan diri sebagai Penolong Pegawai Risikan, Ibu Pejabat Risikan Khas, KDN Putrajaya, sedangkan unit serta bahagian yang dinyatakan tidak wujud apabila dirujuk oleh pihak polis kepada KDN untuk tujuan pengesahan.

"Kes ini sedang dalam siasatan polis. KDN memberi amaran keras kepada semua pihak supaya tidak cuba mengambil pendekatan serupa kerana mereka boleh didakwa dan dikenakan hukuman berat di bawah Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Mahmood menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang tampil memperkenalkan diri menggunakan kad kuasa kementerian bagi tujuan dan tindakan tertentu.

"Ini kerana KDN tidak pernah mengeluarkan sebarang kad kuasa melainkan kad pengesahan kakitangan kementerian yang ditandatangani Ketua Setiausaha KDN yang sekadar menyertakan maklumat gambar pembawa, nama, nombor kad pengenalan dan jawatan serta bahagian masing-masing.

"Orang ramai diminta tampil membuat laporan polis jika mempunyai maklumat mengenai tindakan mana-mana individu yang menyamar menggunakan pengenalan kad kuasa KDN," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain