suria

Bekas Rakan Perniagaan Ummi Hafilda Pohon Ketepikan Saman RM100 Juta

KUALA LUMPUR: Bekas rakan perniagaan kepada ahli perniagaan Ummi Hafilda Ali memfailkan permohonan bagi mengetepikan saman RM100 juta yang difailkan oleh Ummi Hafilda terhadapnya.

Hakim Datuk V.T.Singham menetapkan 12 September ini untuk mendengar permohonan itu yang difailkan peguam Yusmadi Mohd Yusoff yang mewakili Nor Azman Abdullah @ Baginda Minda.

Terdahulu Yusmadi memberitahu mahkamah bahawa beliau baru dilantik menjadi peguamcara kepada Nor Azman kerana baru menerima writ saman.

Katanya beliau telah memfailkan permohonan bagi mendapat kebenaran untuk memasukkan memorandum kehadiran bersyarat.

Pada 25 April lepas, Ummi Hafilda memfailkan semula saman fitnah terhadap pengendali laman berita Malaysiakini, Mkini Dotcom, dan Nor Azman yang sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi 13 April lalu, selepas peguam kedua-dua pihak tidak hadir ketika ia pertama kali disebut.

Peguam Fahri Azzat yang mewakili Mkini Dotcom Sdn Bhd memohon agar mahkamah mengadakan proses mediasi antara anak guamnya dan Ummi Hafilda.

Hakim Singham berkata mahkamah memang menggalakkan proses mediasi antara pihak yang terlibat dan akan mengadakan mediasi selepas mendengar permohonan Nor Azman bagi mengetepikan saman itu.

Beliau juga menasihati pihak yang terlibat supaya tidak membuat kenyataan media berkaitan kes itu yang sedang berjalan kerana ianya akan memprejudiskan kes.

Bagaimanapun, hakim itu tidak melarang media membuat liputan kes yang berjalan dalam mahkamah.

Ini berikutan satu kenyataan oleh Ummi Hafilda kepada media pada Selasa lepas antara lain supaya mahkamah memasukkan penghakiman ingkar terhadap Nor Azman ekoran kegagalan lelaki itu atau peguamnya hadir di mahkamah.

Di luar mahkamah, Yusmadi ketika ditanya mengenai permohonan kebenaran untuk memasukkan kehadiran bersyarat, berkata ianya bermaksud hak bagi pihak yang disaman untuk mengetepikan saman berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ummi Hafilda mendakwa Nor Azman dalam satu temuramah di lobi Parlimen, telah mengeluarkan kenyataan bersifat fitnah serta menyerangnya secara peribadi.

Ummi Hafilda mendakwa kenyataan Nor Azman itu dibuat untuk memalukannya dan berniat jahat seolah-olah beliau seorang wanita yang mempunyai banyak skandal serta amat tidak jujur, selain terlibat dengan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengakibatkan pertuduhan liwat terhadap ketua pembangkang itu.

Mkini Dotcom Sdn Bhd pula didakwa telah secara cuai membenarkan penerbitan, penulisan dan penyiaran artikel bersifat fitnah itu di laman web www.malaysiakini.com pada 15 Mac lalu.

Ummi Hafilda menuntut ganti rugi am RM100 juta dan perintah injunksi bagi menghalang kedua-dua defendan daripada terus membuat kenyataan fitnah terhadapnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain