suria

Kelab Rukun Negara Wajar Ditubuhkan Di Setiap Sekolah

ALOR SETAR: Kelab Rukun Negara (KRN) wajar ditubuhkan di setiap sekolah di negeri ini bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang cara menguruskan kehidupan yang lebih berkesan dalam suasana masyarakat majmuk di negara ini.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kedah Mohd Saidi Midin berkata, sehubungan itu Jabatan Pelajaran Negeri digalakkan memperbanyak KRN kerana ia mampu memupuk semangat perpaduan di kalangan pelajar sekolah.

"Kita mahu jadikan KRN sebagai platform kepada pelajar-pelajar mempelajari macam mana mereka dapat hidup dalam sebuah masyarakat berbilang kaum, sebab perkara yang melibatkan perpaduan ini tidak datang dengan mudah, ia perlu diurus dan dipelajari," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan hadiah pada Pertandingan Lagu-lagu Patriotik Antara KRN Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Negeri Kedah di sini.

Mohd Saidi berkata KRN dapat mendidik pelajar supaya memahami dan menghayati sejarah silam iaitu proses sebelum mencapai kemerdekaan sekaligus membimbing golongan berkenaan menjadi generasi yang tidak lupa kepada asal-usul masyarakat di negara ini.

"KRN penting bagi sekolah menengah dan juga sekolah rendah kerana generasi sekarang ini kurang faham mengenai sejarah," katanya.

Mohd Saidi berkata setakat ini terdapat 327 KRN di semua peringkat sekolah di seluruh negeri iaitu 173 di sekolah menengah dan 154 buah lagi di sekolah rendah.

"Kita ada peruntukan untuk sekolah-sekolah tersebut menganjurkan program-program yang bersesuaian dengan KRN dan pada tahun ini kita memperuntukkan sebanyak RM163,500 kepada 327 buah kelab tersebut," katanya.

Terdahulu, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Alor Setar telah diumumkan sebagai juara Pertandingan Lagu-lagu Patriotik Antara KRN Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Negeri Kedah, sekaligus melayakkan mereka bertanding pada peringkat kebangsaan September ini di Auditorium Angkasapuri Kuala Lumpur.

Artikel Lain