suria

Saman Fitnah RM100 Juta Ummi Hafilda Didengar September

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, menetapkan 12 September depan sebagai tarikh pendengaran saman fitnah bernilai RM100 juta yang difailkan oleh ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali terhadap pengendali portal berita, MalaysiaKini.

Hakim Datuk V.T Singham juga menetapkan pendengaran tersebut berjalan selama dua hari.

Tarikh itu ditetapkan pada prosiding pengurusan kes, selepas beliau berjumpa dengan peguam Fahri Azzat yang mewakili MalaysiaKini, yang dinamakan sebagai defendan kedua dalam saman berkenaan.

Peguam Zulhimi Wagiman yang mewakili Ummi Hafilda, 43, pula memberitahu, pihaknya akan mengiklankan saman itu kepada defendan pertama, Nor Azman Abdullah atau dikenali sebagai Baginda Minda ekoran saman masih belum dapat disempurnakan.

Selain itu, beliau menambah, akan memanggil tiga atau empat saksi pada pendengaran kes itu, termasuk Ummi Hafilda, yang merupakan saksi utama pada perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Pada prosiding itu, Singham berkata, mahkamah akan membuat keputusan tentang liabiliti sahaja iaitu adakah defendan kedua dipertanggungjawabkan terhadap kenyataan defendan pertama.

Untuk tujuan tersebut, mahkamah akan melihat tiga intipati penting iaitu apa sebenarnya yang diperkatakan oleh defendan pertama, adakah defendan pertama yang mengucapkan kenyataan itu dan adakah ia berunsur fitnah.

Pada 13 Jun lalu, Zulhilmi memaklumkan mahkamah, pihaknya juga telah menghantar writ saman kepada Nor Azman di Sarawak tetapi dokumen itu telah dikembalikan semula dan usaha tersebut diteruskan pada 9 Jun lalu dengan mengirimnya ke satu alamat di Petaling Jaya, Selangor.

Hakim Singham berkata, sekiranya kedua-dua cara tersebut menemui jalan buntu, Ummi Hafilda selaku plaintif hendaklah memohon supaya dokumen itu diserahkan menerusi penyampaian gantian melalui kaedah iklan ataupun ditampal pada papan notis di mahkamah.

Ummi Hafilda yang merupakan adik kepada Timbalan Presiden Parti keadilan Rakyat (PKR) Azmimn Ali memfailkan saman itu sebanyak dua kali, ekoran saman pertamanya dibatalkan selepas pihak-pihak yang terlibat tidak menghadiri prosiding di mahkamah.

Saman tersebut difailkan untuk kali pertama pada 17 Mac lalu dan dibatalkan pada 13 April lalu, sebelum Ummi Hafilda kembali memfailkannya pda 25 April lalu.

Wanita tersebut mendakwa Nor Azman yang merupakan bekas rakan perniagaannya telah mengeluarkan kenyataan berbentuk fitnah secara sindiran pada sidang media yang dihadiri oleh sekumpulan wartawan di lobi Parlimen pada 15 Mac lalu.

Dakwanya lagi, defendan kedua telah menerbitkan kenyataan tersebut pada hari yang sama dalam bahasa Malaysia pada pukul 2.31 petang manakala versi bahasa Inggeris diterbitkan pada pukul 3.04 petang.

Artikel tersebut didakwa ditulis oleh wartawan Hazlan Zakaria dan bertajuk ‘Baginda pula jelajah ‘bongkar’ Ummi Hafilda’ dan ‘Ummi’s sex-partner threatens to ‘tells all’.

Umi Hafilda mendakwa, kenyataan tersebut membawa maksud bahawa dirinya seorang ahli perniagaan yang terdesak, wanita tidak bermoral dan mempunyai banyak skandal dan tidak jujur.

Seterusnya, Umi Hafilda juga mendakwa penerbitan artikel tersebut telah menjejaskan reputasinya sebagai seorang individu berprofil tinggi dan sangat dikenali serta memegang pelbagai jawatan perniagaan dan sosial di Malaysia.

Selain itu, Umi Hafilda juga memohon perintah injunksi untuk melarang kedua-dua defendan daripada terus menerbikan kenyataan fitnah tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain