suria

Muktamar Tahunan PAS: PAS Henti Perjuangan Negara Islam

GOMBAK: Selepas gagal meyakinkan komponen Pakatan Rakyat khususnya DAP mengenai konsep negara Islam, PAS kini tegas mahu melaksanakan agenda perubahan menerusi slogan 'negara berkebajikan'.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan konsep negara berkebajikan yang dibawa oleh parti itu kini lebih terbuka khususnya bagi mengukuhkan hubungan dengan sekutunya dalam Pakatan Rakyat.

"Negara berkebajikan adalah satu istilah yang terkandung dalam Al-Quran... ia sesuai untuk semua tanpa mengira fahaman agama.

"Ia satu konsep yang ada dalam Islam, jadi kita dahulukan kebajikan untuk rakyat tanpa mengira kaum dan agama," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Muktamar PAS ke-57 di sini, Jumaat.

Ditanya sama ada PAS sudah melupakan konsep negara Islam yang menjadi asas perjuangan parti itu sebelum ini, Abdul Hadi bagaimanapun berkata kedua-dua konsep berkenaan hanya disifatkan sebagai label atau jenama.

"Dalam al-Quran tak sebut tentang negara Islam, tapi ada menyebut tentang negara kebajikan," katanya.

Malah Abdul Hadi turut menyatakan bahawa masih belum tiba masa bagi PAS untuk melaksanakan agenda negara Islam.

"Belum tiba masanya (laksana negara Islam). Apa yang penting ialah pelaksanaan.

"Kalau letak jenama sahaja tapi tak laksana tetap tak ada faedah," katanya.

Terdahulu, ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden bertajuk 'Membangun Negara Berkebajikan' Abdul Hadi turut berikrar bahawa PAS komited untuk memperkukuhkan konsep dan objektif kebajikan secara bersama dengan sekutunya dalam Pakatan Rakyat.

"Tema ini berpaksikan kepada pegangan kita bahawa Islam itu merangkumi seluruh cara hidup yang berkonsepkan amal kebajikan," katanya.

Artikel Lain