suria

Pembangunan Di Kawasan Lereng Dan Berbukit Tidak Dihentikan: Nong Chik

KUALA LUMPUR: Semua pembangunan di kawasan lereng dan berbukit di Kuala Lumpur tidak akan dihenti asalkan pemilik tanah dan pemaju mematuhi syarat-syarat teknikal mengikut Garis Panduan bagi Perancangan Pembangunan di kawasan bukit dan cerun di Wilayah Persekutuan 2010 (GPWPKL 2010).

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata selain pemantauan berterusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR), pihaknya juga akan memastikan mereka yang ingin memajukan sesuatu kawasan perlu mengikuti setiap perkara dalam garis panduan itu.

Jika dipatuhi, beliau berkata risiko kejadian tanah runtuh dapat dikurangkan kerana kebanyakan amalan atau garis panduan yang diluluskan itu turut diguna di beberapa negara termasuk di Hong Kong dan terbukti berkesan.

"Kita tidak boleh kata 100 peratus tidak akan berlaku tetapi kalau langkah keselamatan diambil secara teknikal oleh pemaju dan dipantau oleh pihak berkuasa seperti DBKL, kemungkinan risiko berlakunya kejadian itu berkurangan.

"Kalau kita kata nak hentikan semua pembangunan oleh kerana bukit, Kuala Lumpur pun mempunyai banyak bukit dan kawasan lereng," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat komuniti Bukit Bandaraya di Jalan Medang Tanduk, Damansara di sini, Ahad.

Raja Nong Chik ditanya mengenai langkah kementerian memantau kawasan berisiko tanah runtuh di Kuala Lumpur berikutan kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat,petang Isnin yang mengorbankan 16 nyawa dan menyebabkan sembilan yang lain cedera.

Beliau berkata Umno kawasan Lembah Pantai dan Yayasan Wilayah Persekutuan turut menghulurkan sumbangan RM1,500 kepada setiap keluarga daripada empat mangsa tanah runtuh yang berasal dari kawasan Parlimen Lembah Pantai.

Sementara itu Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail yang turut hadir pada majlis itu, meminta orang ramai bekerjasama dengan DBKL di samping melaporkan segera kepada pihak berkuasa berkaitan jika terdapat tanda-tanda tanah runtuh di komuniti masing-masing.

Beliau berkata tanah runtuh jarang berlaku begitu sahaja kerana biasanya ia akan mempunyai simptom seperti pokok tumbang dan serpihan tanah jatuh.

"Mungkin sebelum terjadi (tanah runtuh) kawasan itu ada menunjukkan simptom-simptom tanah runtuh dan jika ada, penduduk perlu maklumkan segera kepada DBKL untuk tindakan seterusnya," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain