suria

Anjing Liar Punca Kereta Api Bukit Bendera Rosak

GEORGE TOWN: Perbadanan Bukit Bendera Rabu mengesahkan bahawa kerosakan pada salah sebuah gerabak kereta api bukit itu dua minggu lepas adalah disebabkan perlanggaran dengan sekumpulan anjing liar.

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Datuk Lee Kah Choon berkata, hasil siasatan mendapati, perlanggaran berlaku apabila terdapat tiga ekor anjing yang melintas landasan kereta api pada kelajuan 4 meter sesaat di kilometer 1.970.

"Hasil siasatan mendapati pemandu kereta api terlihat dua ekor anjing melintas dari arah kiri ke kanan, manakala seekor lagi tidak berjaya melintas dan terlanggar alat komponen gerabak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan oleh pengurus syif, Mohamad Shukri Abdullah telah menjumpai kulit dan kesan tompokan darah anjing yang melekat pada alat komponen dan landasan kereta api itu.

Katanya, perlanggaran itu telah mengakibatkan kerosakan alat penghubung komponen keretapi, alat pendingin hawa dan pintu automatik.

Lee berkata operasi perkhidmatan kereta api itu terpaksa dihentikan selama dua hari bagi kerja-kerja membaiki alat penjana elektrik koc itu.

Akibat kerosakan itu, Perbadanan Bukit Bendera menanggung kerugian sebanyak RM30,000 untuk kos pembaikian.

Projek naik taraf kereta api itu dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan dengan kos sebanyak RM73 juta bagi menggantikan kereta api jenis furnikular yang digunakan sejak 1923 dan ia telah dirasmikan pada Ahad lepas setelah perkhidmatannya dihentikan lebih setahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain