suria

SPRM Pertimbang Cairkan Wang Anggota Kastam Jika Tiada Kaitan Operasi 3B

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia mempertimbangkan untuk mencairkan wang anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang dibekukan dalam Operasi 3B, kata Timbalan Pesuruhjaya SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull.

"Buat permohonan kepada kita. Kita akan tengok dan kaji perkara ini. Kalau tak ada kaitan dengan kes kita akan pertimbangkan," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata siasatan berhubung operasi 3B yang dijalankan bagi menyiasat kegiatan rasuah dan aktiviti pengubahan wang haram membabitkan pegawai kastam juga masih diteruskan.

Mohd Shukri berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan Presiden Kesatuan Kastam Semenanjung Malaysia (KKSM) Ibrahim Ahmad yang mahu SPRM memulangkan wang anggotanya dalam akaun bank yang dibekukan.

April lepas 62 kakitangan Kastam ditahan dalam operasi 3B oleh pasukan siasatan khas yang diketuai SPRM sejak 28 Mac lalu selepas dipercayai terbabit dalam rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain.

Sementara itu Ibrahim yang ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Shamsiah Abu Bakar di sini, berkata pihaknya berharap wang pegawai kastam yang dibekukan akan diberikan kembali.

"Kita minta SPRM release akaun yang dibekukan terhadap beberapa pegawai itu yang membuktikan mereka tiada kesalahan dan wang mereka adalah dari Jabatan Perkhidmatan Awam, wang pencen, golden hand shake," katanya.

Ibrahim berkata SPRM juga dijangka bertemu dengan pengurusan tertinggi kastam untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah itu.- BERNAMA

Artikel Lain