suria

Hakim Didakwa Tinggalkan Prosiding Kebenaran Merayu Kes Pertikaian Tanah

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bahawa Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff meninggalkan prosiding permohonan kebenaran merayu dalam satu kes sivil berhubung pertikaian tanah membabitkan peguam Gurbachan Singh, kira-kira tujuh hingga lapan minit.

Perkara itu didedahkan peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Gurbachan Singh dan empat lagi pada prosiding pada Rabu di depan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan lain yang diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria.

Malik Imtiaz berkata prosiding itu diteruskan tanpa kehadiran Alauddin, yang kembali beberapa minit kemudian bagi terus mendengar permohonan itu.

Beliau berkata ketiadaan Alauddin bagi tempoh beberapa minit itu menyebabkan kuorum Mahkamah Persekutuan sebelum ini tidak cukup dan melanggar peruntukan Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang menyatakan ia perlu dibentuk oleh tiga hakim pada sepanjang waktu mahkamah itu bersidang.

Malik Imtiaz menyebut perkara itu sebagai satu daripada dua alasan bagi menyokong permohonan agar Mahkamah Persekutuan menyemak keputusannya yang terdahulu dalam kes berkenaan.

Alasan lain ialah berlaku pelanggaran keadilan asasi kerana beberapa peguam pemohon didakwa tidak diberi peluang membuat hujahan balas.

Pada 21 April tahun lepas, Hakim Alauddin yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Suriyadi Halim Omar, membuat keputusan yang tidak memihak kepada pemohon.

Panel itu tidak membenarkan Gurbachan, firma guamannya Tetuan Bachan & Kartar, syarikat Simpang Empat Plantations Sdn Bhd yang dilantik sebagai penanggung dan pengurus, serta Regal Establishment dan MBF Finance Berhad merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka mengembalikan tanah seluas 1,472 hektar di Hutan Melintang, Perak bernilai RM80 juta kepada 217 pekerja estet. Permohonan semakan itu dijadual untuk pendengaran pada Rabu.

Bagaimanapun, pada prosiding hari ini, Hakim Arifin yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk Seri Md Raus Sharif, membenarkan permohonan Malik Imtiaz untuk menangguhkan kes itu serta ditetapkan bagi pengurusan kes dalam tempoh dua bulan.

Ini bagi membolehkan polis menyelesaikan siasatan terhadap laporan Gurbachan berhubung afidavit dan surat lima saksi sumpah responden.

Dalam afidavit dan surat mereka, kesemua saksi itu sama ada menafikan atau tidak ingat sama ada Alauddin telah meninggalkan panel berkenaan selama beberapa minit. Malik Imtiaz juga berkata beliau akan memaklumkan mahkamah perkembangan siasatan polis serta akan memfailkan permohonan untuk satu prosiding menghina mahkamah terhadap kelima-lima saksi sumpah berkenaan.

Sementara itu, peguam D.P Vijandran yang mewakili pekerja berkata tidak berlaku sebarang ketidakadilan atau prejudis terhadap pemohon jika diandaikan Alauddin memang meninggalkan prosiding itu untuk beberapa minit.

Responden, P.Vellasamy dan 216 sub pembeli tanah berkenaan telah menyaman pemohon, namun kalah dalam pertikaian undang-undang itu pada 2006 apabila Mahkamah Tinggi Ipoh menolak saman tersebut.

Bagaimanapun, pada Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan dalam satu keputusan majoriti 2-1, membenarkan rayuan pekerja dan mengenepikan penghakiman Mahkamah Tinggi serta memerintahkan tanah terbabit dikembalikan kepada pekerja.

Dalam pernyataan tuntutan, Vellasamy berkata Gurbachan Singh dan firmanya dilantik sebagai peguamcara bagi menasihati mereka berhubung tindakan undan-undang yang wajar diambil selepas mendapati tanah berkenaan akan dijual secara tender.

Mereka mendakwa Gurbachan Singh menggunakan Regal Establishment bagi membeli tanah berkenaan dan menukar hak pemilikan kepada syarikat tersebut.

Katanya, Gurbachan Singh dan firmanya dipecat selepas menyedari peguam itu secara putar belit telah menipu mereka.

Dalam pembelaan, Gurbachan Singh dan empat yang lain menafikan dakwaan itu. - BERNAMA

Artikel Lain