suria

Suami Isteri Balik Dari Surau Maut Dalam Kemalangan

JERLUN: Sepasang suami isteri yang baru pulang dari surau maut apabila motosikal yang dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta di Jalan Pekan Sanglang, Kampung Tok Mengkula dekat sini malam tadi.

Omar Ismail, 59 dan isteri Aishah Teh, 65, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Supritendan Ibrahim Mohamad Yusof berkata, pemandu kereta berkenaan yang berusia lingkungan 20an kini ditahan bagi membantu siasatan.

"Kita percaya suspek memandu kereta dengan laju berdasarkan kesan brek yang terdapat pada jalan raya tersebut," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu hari ini.

Sementara itu, menantu pasangan terbabit, Rosli Abdul Hamid berkata ibu dan bapa mentuanya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunaikan solat Maghrib dan Isyak di surau yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah.

"Saya menyedari mereka sudah menyeberangi jalan untuk balik dan tiba-tiba datang sebuah kereta melanggar motosikal yang dinaiki kedua-dua mentua saya," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Rosli berkata beliau ternampak ayah mentuanya terpelanting ke tepi sungai, manakala ibu mentuanya pula melambung ke atas bonet kereta dan diseret kira-kira 30 meter dari tempat kejadian sehingga di hadapan rumah mereka.

"Saya terus ke arah kereta itu dan mendapati ibu mentua saya sudah tidak bernyawa. Saya memanggil isteri yang berada dalam rumah dan kemudian saya mencari ayah mentua saya dan menjumpai mayatnya di tepi sungai," katanya.

Jenazah kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sanglang selepas solat Zohor hari ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain