Pelatih PLKN Beragama Sikh Dakwa Rambut Dipotong - Semasa | mStar

Pelatih PLKN Beragama Sikh Dakwa Rambut Dipotong

IPOH: Seorang remaja lelaki beragama Sikh enggan meneruskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selepas mendakwa beliau mengalami trauma apabila rambutnya dipotong semasa sedang tidur Ahad lepas.

Basant Singh, 18, berkata, kejadian itu sangat mengejutkan beliau kerana rambutnya tidak pernah digunting sejak lahir sebagai mematuhi ajaran agama.

"Saya tidak berpuas hati dan tidak mahu meneruskan lagi latihan...saya mahu pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar di rumahnya yang di kawasan Rumah Ibadat Sikh Wadda Gurdwara Sahib di sini.

Basant telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah pada petang Ahad berhubung insiden itu yang dipercayai berlaku antara 3 pagi hingga 6.30 pagi Ahad.

Beliau mendakwa, insiden itu berlaku semasa beliau sedang tidur di asrama lelaki Kem PLKN Sungai Bakap, Pulau Pinang, awal pagi Ahad lepas.

Katanya, beliau yang mengikuti latihan di kem itu sejak 4 Januari hanya menyedari perkara itu apabila bangun tidur pada kira-kira pukul 6.30 pagi dan mendapati rambutnya yang sebelum ini panjang hingga mencecah pinggang didapati sudah pendek sekadar paras bahu, dipercayai dipotong antara 50 hingga 60 sentimeter.

Basant berkata, beliau terus menghubungi ayahnya, Surinderpal Singh, 46, bagi memaklumkan perkara itu dan pihak kem kemudian membenarkan beliau bercuti selama seminggu dan melaporkan diri semula pada Ahad ini.

Beliau berkata, 10 pelatih lain yang tinggal bersamanya turut terkejut dengan kejadian itu dan mengesyaki ia dilakukan oleh penceroboh kerana asrama berkenaan tidak berkunci.

Katanya, kesemua pelatih yang tinggal bersama dalam asrama berkenaan berasal dari Ipoh, Perak dan beliau mengenali mereka.

Sementara itu, ayahnya Surinderpal berkata, beliau juga tidak bersetuju anaknya kembali meneruskan latihan di kem berkenaan kerana bimbangkan keselamatannya.

"Jika ketika tidur orang lain boleh sewenang-wenangnya masuk ke asrama dan memotong rambut penghuninya, tidak mustahil pada masa akan datang mereka memotong leher anak saya tanpa sedar," katanya.

Di PUTRAJAYA, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechik berkata, pihaknya sedang menyiasat aduan itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Bagaimanapun, katanya kesemua 27 pelatih di bilik yang sama telah disoal siasat dan pihaknya tidak menemui objek tajam atau rambut yang dikatakan dipotong.

"Menteri Pertahanan (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) telah mengarahkan agar kajian terperinci dibuat dan saya telah mengarahkan Pengarah Operasi JLK NKol Sanusi Hashim untuk mengetuai siasatan tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata pihak pengurusan kem PLKN sedia maklum tentang agama Sikh dan rambut mereka tidak boleh dipotong dan pelatih-pelatih diberi ingatan supaya bahasa, agama dan kebudayaan rakan-rakan mereka dihormati. Komandan kem telah memberi cuti kepada pelatih berkenaan berasaskan permohonan ibu bapa pelatih untuk mendapatkan ketenangan jiwa dan secara kebetulan pelatih tersebut mempunyai temu janji dengan doktor gigi pada Jumaat ini, katanya sambil menyatakan kecewa dengan kejadian itu.

Abdul Hadi juga berkata, pelatih sememangnya tidak dibenarkan untuk membawa sebarang objek tajam dan pihak pengurusan mempunyai pengawasan yang ketat terhadap perkara tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pemborong Ikan Edar Dadah Dihukum Mati

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

Artikel Lain

Bapa Wan Azizah meninggal dunia