suria

Kenderaan KPDNKK Perak Disembur Cat Ketika Operasi

IPOH: Sebuah kenderaan pacuan empat roda Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak disembur cat hitam di bahagian belakang dan kanan dalam satu kejadian malam tadi ketika pegawai-pegawai penguatkuasanya sedang membuat pemeriksaan di sebuah premis di Greentown di sini.

Pengarah KPDNKK Perak Mohd Hilmi Mohd Noor berkata ia dipercayai dilakukan oleh kumpulan 'tonto' yang mengekori operasi pemeriksaan premis di Pusat Perniagaan Greentown dari 8 hingga 10 malam tadi.

Beliau berkata operasi itu dilakukan bagi mengumpul maklumat berkaitan pemilik premis dan aduan penjualan cakera optik tanpa pelekat hologram, tanda harga, nama dan alamat pengeluar.

Mohd Hilmi berkata kejadian itu merupakan yang pertama berlaku di Ipoh dan kali kedua di Perak selepas insiden serupa di Taiping pada Ogos lepas. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain