suria

Perdana Menteri Australia Lawat Malaysia Mulai 31 Oktober

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri wanita pertama Australia, Julia Gillard akan melakukan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia mulai 31 Oktober ini, iaitu lawatan sulung beliau ke rantau ini selepas menjawat jawatan Perdana Menteri.

Ketika mengumumkan perkara itu hari ini, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata lawatan itu memberi isyarat bahawa Malaysia merupakan negara yang sangat penting di rantau ini kepada Australia.

"...dan satu lagi hakikat yang sama penting ialah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas bertemu rakan sejawatannya dari New Zealand, Murray Mccully untuk mengadakan perbincangan.

Mccully tiba di sini semalam untuk melakukan lawatan kerja sehari.

Anifah berkata meskipun pada masa ini beliau belum pasti mengenai isu yang akan dibincangkan, namun beliau percaya antara isu yang akan dibangkitkan ialah perdagangan dan pelaburan, pendidikan, perubahan iklim, pelancongan, pemerdagangan orang, pelanunan serta keganasan.

"Jadi, mengikut tradisi, ini adalah isu yang bekas perdana menteri (Kevin Rudd) dan perdana menteri kita telah pun bincangkan... saya percaya tidak ada banyak bezanya," kata Anifah.

Mengenai perbincangan dengan rakan sejawatannya dari New Zealand, Anifah berkata antara perkara yang dibincangkan ialah pendidikan, di mana negara berkenaan meminta Malaysia memberi pengiktirafan menyeluruh bagi semua ijazah dan program yang ditawarkannya.

"Agensi Kelayakan Malaysia ketika ini memperbaharui semula memorandum persetujuan dengan agensi kelayakan New Zealand untuk memformalkan kerjasama itu," kata Anifah, sambil menambah mengikut tradisi, New Zealand menjadi destinasi pendidikan pilihan ramai pelajar Malaysia.

Anifah berkata Malaysia turut mengharapkan persetujuan perkongsian kos dengan New Zealand bagi kursus yang ditawarkan di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar bagi peserta dari negara seperti Papua New Guinea, Samoa dan Tonga.

Anifah berkata beliau dan Mccully turut membincangkan kemungkinan mengadakan program pertukaran pelajar antara kedua-dua negara dengan penajaan oleh sektor korporat.

Menggambarkan perbincangan itu sebagai sangat berhasil, Anifah berkata beliau dan rakan sejawatannya dari New Zealand merancang untuk mengadakan lawatan bersama ke Afghanistan awal tahun depan untuk memberi sokongan moral kepada pasukan yang ditugaskan oleh negara masing-masing di negara yang dilanda peperangan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain