suria

Lebih 490,000 Duduki UPSR Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Seramai 494,493 calon menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini sehingga Khamis.

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dalam satu kenyataan di sini berkata daripada jumlah itu, 373,190 adalah calon sekolah kebangsaan, 96,166 dari sekolah jenis kebangsaan Cina (SJK(C)) dan 16,965 dari SJK Tamil.

Turut menduduki UPSR hari ini ialah 8,163 calon Sekolah Swasta Pengantar Bahasa Melayu dan sembilan pelajar dari Sekolah Swasta Pengantar Bahasa Cina.

Di KUANTAN, seramai 26,936 pelajar Tahun Enam menduduki UPSR di seluruh negeri termasuk 81 calon daripada golongan kelainan upaya.

Pengarah Pelajaran Pahang Datuk Abdul Aziz Abdul Latif ketika ditemui pemberita selepas meninjau Sek Keb Permatang Badak di sini, berkata beliau berharap jumlah pelajar yang lulus dalam semua subjek pada kali ini akan meningkat berbanding 68.39 peratus tahun lepas.

Di KUALA TERENGGANU, seramai 23,533 murid Tahun Enam menduduki UPSR di 371 pusat peperiksaan melibatkan 354 buah sekolah di seluruh negeri, kata Pengarah Pelajaran negeri Ariffin Embong.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman ketika dihubungi berkata beliau yakin sasaran Terengganu untuk mencapai 20 peratus A dalam semua mata pelajaran akan tercapai.

Ia berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan yang mencatatkan 29 peratus pelajar mendapat gred A dalam semua mata pelajaran, katanya.

Sementara itu di ALOR SETAR, seramai 39,756 pelajar di Kedah menduduki peperiksaan itu, kata Pengarah Pelajaran negeri Shahidan Abd Rahman ketika dihubungi.

"Sebanyak 560 pusat peperiksaan dibuka yang melibatkan 549 buah sekolah di seluruh Kedah," katanya.

Beliau berkata peperiksaan hari ini berjalan lancar dan tiada sebarang masalah dilaporkan.

"Memandangkan cuaca sekarang ini tidak menentu, jadi setiap sekolah telah bersedia jika berlaku banjir di sekolah mereka. Kita akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain