suria

Sukarelawan Kelab Putra 1Malaysia Selamat Tiba Dari Pakistan

PUTRAJAYA: Seramai 68 sukarelawan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Pakistan bagi membantu mangsa banjir di negara itu, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 11.47 pagi ini.

Anggota misi yang terdiri daripada 40 doktor pakar, sukarelawan dan wakil media itu berada di Pakistan sejak 28 Ogos lepas.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengetuai misi itu menyifatkannya sebagai amat berjaya kerana hampir 300 tan bantuan, termasuk bahan makanan, ubat-ubatan dan pakaian, berjaya disalurkan kepada mangsa banjir.

Beliau berkata selama 16 hari di Pakistan, kumpulan misi itu menyalurkan bantuan di 11 kawasan yang teruk dilanda banjir, termasuk kawasan pedalaman.

Katanya, walaupun misi anjuran bersama Kelab Putera 1Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah itu telah berakhir, mereka akan mencari jalan bagi menyalurkan bantuan susulan.

Abdul Azeez berkata sehubungan itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Wisma Putra bagi mengetahui perkembangan di Pakistan.

"Kami akan memberi laporan terperinci kepada pucuk kepimpinan dan berbincang dengan mereka serta pihak NGO (badan bukan kerajaan) dan syarikat GLC (syarikat berkaitan kerajaan)," katanya.

Beliau berkata rakyat serta NGO Pakistan mengharapkan sokongan Malaysia selain memerlukan kepakaran dalam pembinaan semula kediaman seperti Projek Perumahan Rakyat Termiskin dan rumah mesra rakyat yang terdapat di negara ini.

"Lebih 1 juta rumah telah musnah sama sekali dibawa air. Seramai 20 juta rakyat mereka tidak ada tempat tinggal dan duduk dalam khemah sahaja, sementara hampir 4 juta kanak-kanak sedang menderita dengan pelbagai penyakit," katanya.

Ditanya mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pakistan, Abdul Azeez berkata walaupun mereka tidak dapat berhari raya bersama keluarga masing-masing, namun suasana perayaan di situ disifatkan paling indah kerana telah meraikannya dengan anak yatim piatu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain