suria

Amalkan Sikap Hormati-Menghormati, Elak Sensitiviti Kaum Lain

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari menggesa rakyat agar mengamalkan prinsip saling menghormati berdasarkan kepada sensitiviti sesuatu kaum atau agama agar ia tidak mudah dicabuli oleh pihak lain.

Beliau berkata prinsip itu amat penting dalam menentukan keharmonian negara terpelihara sekaligus dapat mengelak wujudnya perasaan ekstremis atau jumud.

Berucap pada majlis berbuka puasa bersama kira-kira 3,000 penduduk kawasan Parlimen Gombak di perkarangan Kompleks Amaniah, Batu Caves di sini, Najib berkata rakyat juga perlu berpegang pada sikap bersederhana, kerana prinsip itu dapat meningkatkan perasaan saling menghormati antara umat Islam dan bukan Islam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor.

Sementara itu mengulas mengenai isu Anggota Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang memasuki ruang solat utama di Surau Al-Huda, Kajang baru-baru ini, Najib mengingatkan agar setiap pihak supaya menjauhi perkara yang tidak disenangi oleh kaum lain.

"Ini sebagai peringatan bukan nak hangatkan isu ini, nak lakukan apa sahaja harus periksa dan ambil tahu akan apa kita lakukan sama ada ia disenangi oleh mereka yang bukan seagama, lebih-lebih lagi memasuki ruang ibadat yang suci," katanya. Beliau turut merujuk kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-90 pada 1 Mac lepas yang memutuskan bahawa pelancong bukan Islam yang memasuki masjid dan ruang solat utama diharuskan, dengan syarat mendapat keizinan pengurusan masjid dan kelakuan mereka tidak mencemarkan masjid di samping berpakaian menutup aurat dan perlakuan terkawal.

Beliau berkata Sultan Selangor juga bertitah berhubung larangan orang bukan Islam memasuki ruang solat utama masjid dan surau di Selangor mengikut Seksyen 3, Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor.

"Pada tahun 1989, Ratu Elizabeth masuk ke masjid negeri dengan pakaian menutup aurat dan tidak masuk ke ruang solat utama," kata Najib yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor.

Pada majlis itu Perdana Menteri turut menyampaikan bantuan kilat RM500 tiap seorang kepada kepada empat mangsa kebakaran, sumbangan RM18,000 bagi 18 masjid di Parlimen Gombak serta bantuan hari raya kepada 142 orang miskin dan 158 anak yatim.

Najib kemudian menunaikan solat Maghrib, Isyak dan terawih bersama penduduk Gombak di Masjid Al-Amaniah yang terletak bersebelahan dengan Kompleks Amaniah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain