suria

Salam Ramadan & Merdeka Dari Rantau

MERAIKAN Ramadan tidaklah banyak bezanya dengan sambutan di Malaysia. Ramadan tetap disambut dengan meriah. Ironinya, rakyat Malaysia di sini masih mengekalkan adat dan budaya tanah tumpah negara di bumi kangaroo ini.

Sebagai contoh, solat tarawih berjemaah dijalankan secara bergilir-gilir dari satu rumah ke satu rumah, memberikan satu alternatif bagi mereka yang masih tebal dengan budaya amalan Malaysia.

Secara tidak langsung ini dapat mengeratkan lagi silaturahim di kalangan warga Malaysia di sini. Tidak ketinggalan bazar ramadan juga diadakan. Segala macam juadah dijual, dari dodol sehinggalah ke seri muka, rendang dan serunding menjadi pembuka selera.

Walaupun bazar ini bukan dibuka jualannya setiap hari, namum setiap hujung minggu pasti mengamit kedatangan para pengunjung. Amalan bersedekah, membelanja mereka yang berpuasa, berbuka, juga tidak putus-putus diadakan.

Golongan pelajar universiti di sekitar Melbourne cukup bertuah. Bagaikan artis, diari mereka penuh dengan jemputan berbuka puasa dari hari ke hari. Secara tidak langsung boleh menjimatkan belanja mereka yang sering ikat perut dengan kos kehidupan yang tinggi di sini.

Tambahan pula Dewan Malaysia di sini, menjadi pusat pengumpulan warga Malaysia setiap Sabtu. Kenangan berpuasa di Malaysia, sering menjadi topik perbualan diiringi dengan latarbelakang lagu-lagu raya, menyebabkan kadangkala air mata menitis tanpa disedari. Apatah lagi, apabila lagu Dendang Perantau ke udara, menyebabkan dewan yang penuh dengan lebih 300 orang boleh terkasima seketika.

Pendek kata ramadan di Melbourne tidaklah sesunyi seperti yang dijangkan oleh kaum keluarga di Malaysia. Keadaan sebegini secara tidak langsung dapat mengubati rindu akan suasana kemeriahan ramadan di Malaysia. Secara kebetulan, hari kemerdekaan negara kita yang ke 53 baru sahaja berlangsung.

Dengar khabarnya di Malaysia cukup meriah sekali sambutannya walaupun kali ini buat pertama kalinya ia diadakan di dalam dewan tertutup.Berbeza dengan Melbourne, mungkin kerana bulan puasa menyebabkan suasana agak hambar seketika.

Walaupun ada program yang diatur oleh sebuah Kementerian yang mengambil inisiatif menganjurkan konsert hip-hop sempena dengan kemerdekaan negara kita. Namum bagi saya, sambutan kemerdekaan sebegini tidaklah begitu sesuai.

Tambahan pula lebih dari 90% warga Malaysia di sini dianggap sebagai anak-anak selepas merdeka. Jika konsert yang disajikan, dimanakah penghayatan kemerdekaan? Adakah selepas ini konsert anggap dianggap sebagai satu upacara wajib dalam meraikan kemerdekaan?

Apakah dengan cara ini sahaja, kita boleh menarik perhatian golongan muda? Kepada kementerian terbabit, jangan salah sangka. Cubit paha kanan, terasa juga di paha kiri. Saya bukanlah seorang yang prejudis, dan umur saya juga belum mencecah 40 tahun. Namunsaya amat sayang kepada Malaysia, saya amat menghargai kemerdekaan negara kita.

Saya sentiasa berdoa agar kebebasan yang kita nikmati ini, berpanjangan. Namun begitu, perlukah acara sebegini yang disogok kepada generasi muda kita. Adilkah duit pembayar cukai digunakan sebegini? Apakah impak yang kita perolehi dari penganjuran konsert sempena kemerdekaan?

Saya amat mengharapkan agar di tahun-tahun mendatang, upacara tradisi diteruskan. Acara menaikan bendera, menyanyikan lagu-lagu patriotik disamping ditunjukan slide betapa peritnya perjuangan mencapai kemerdekaan, bagi saya lebih memberi impak maksima.

Disusuli pula dengan forum melibatkan golongan muda dan kepimpinan negara terutamanya dalam membincangkan ke arah manakah Malaysia akan dibawa selepas ini. Hakikatnya ke mana jua saya merantau, SAYA TETAP ANAK MALAYSIA.

Penulis merupakan Honorary Visiting Scholar di University Of Melbourne.Beliau boleh dihubungi menerusi [email protected]

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain