suria

JAIS Sahkan Empat Lagi Hotel Di Selangor Dapat Sijil Halal

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menerusi Unit Halal dari Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan mengesahkan bahawa empat lagi hotel di negeri ini telah mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Empat lagi hotel yang mendapat pensijilan halal di Selangor ialah Cyberview Lodge Sdn Bhd, Hotel Hilton Petaling Jaya, Hotel Empress Sepang dan Hotel Impian Morib, kata Jais dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini Khamis.

Dengan penyertaan empat lagi hotel itu, kini terdapat 17 buah hotel di Selangor yang mendapat pensijilan halal.

Tiga belas hotel yang sebelum ini telah mendapat pensijilan halal ialah Hotel Seri Malaysia Bagan Lalang, Pan Pacific KLIA, Crystal Crown Hotel Petaling Jaya, The Summit Hotel USJ, Hotel De Palma Shah Alam, Hotel De Palma Ampang, Hotel De Palma Sepang, Hotel De Palma Kuala Selangor; Hotel Holiday Villa Subang, Residence Hotel Universiti Tenaga Nasional, Grand Blue Wave Hotel Shah Alam, Hotel Armada Petaling Jaya dan Hotel Concorde Inn KLIA.

Jais berkata masih ada enam buah hotel lagi yang dalam peringkat pertimbangan bagi mendapat pensijilan halal.

"Kami berharap pengusaha hotel yang masih belum memohon pensijilan halal daripada Jakim, Jais, Perbadanan Pembangunan Industri Halal dan Majlis Agama Islam Selangor agar tidak menggunakan perkataan Bufet Ramadan yang boleh mengelirukan umat Islam," kata Jais. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain