suria

Mahkamah Tolak Permohonan Karpal Untuk Panggil DPP Dan Mohd Saiful

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memanggil saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Farah Azlina Latif bagi menjawab dakwaan bahawa mereka menjalinkan hubungan intim.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan bahawa isu itu telah terjawab menerusi afidavit dan mahkamah tidak sanggup diseret ke dalam perkara itu.

Dalam menolak permohonan Anwar itu, katanya mahkamah mengamalkan sistem pertentangan dan dia tidak mahu menyifatkan dirinya dalam situasi itu.

Beliau juga menolak cubaan peguam Anwar, Karpal Singh, untuk menyoal balas DPP Kanan Mohamad Hanafiah Zakaria, yang memfailkan afidavit bagi membalas afidavit Anwar, berhubung permohonan untuk menggugurkan tuduhan terhadapnya atas alasan integriti pasukan pendakwaan dikompromi berikutan dakwaan hubungan intim itu.

Mohamad Zabidin juga memutuskan dakwaan bahawa Mohamad Hanafiah berpoligami dan cubaan mendaftar perkahwinannya di Mahkamah Syariah Kota Baharu, tidak berkaitan atau relevan dengan perbicaraan kes itu. Terdahulu itu, Karpal dalam permohonan lisan untuk menyoal balas Mohamad Hanafiah, memberitahu mahkamah bahawa kredibiliti DPP kanan itu dipersoalkan.

"Kami mahu Mohamad Hanafiah supaya naik kandang saksi untuk menjawab tuduhan terhadapnya dan kami mempunyai maklumat dengan bukti dokumen bagi membuktikan dakwaan kami," tegas Karpal.

Dakwaan Karpal itu mendapat bantahan keras dari Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden dengan menyatakan permohonan pembelaan jelas menunjukkan penyalahgunaan proses mahkamah.

"Buat kali pertama saya bercakap...kami tidak boleh membenarkan pembelaan terus melambatkan perbicaraan ini. Kita tidak boleh melihat semata-mata kepentingan tertuduh. Kita harus melihat kepentingan pengadu serta orang awam," kata Mohamed Yusof.

Bagaimanapun Karpal membalas dengan berkata perbicaraan ini dilambatkan kerana salah laku DPP dan melakukan kesalahan serius mengikut undang-undang Syariah.

Mohamed Zabidin kemudian mengarahkan Karpal mengemukakan merit permohonannya untuk menggugurkan tuduhan terhadap Anwar.

Anwar, 63, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, bekas pembantu peribadinya yang berusia 25 tahun, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Karpal berkata permohonannya harus dibenarkan atas alasan Farah Azlina atau Mohd Saiful gagal menjawab tuduhan Anwar dalam afidavitnya.

"Kenapa pula Mohamad Hanafiah menjawab sejak Anwar membuat tuduhan serius terhadap mereka," kata Karpal.

Menurutnya tanpa afidavit Farah Azlina dan Mohd Saiful, maka ia boleh dianggap afidavit Anwar adalah benar.

Katanya Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sendiri telah mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa siasatan dakwaan hubungan intim itu masih diteruskan dan sebab itu mereka mahu memastikan Farah Azlina dan Mohd Saiful menjawab afidavit Anwar.

Karpal juga mempersoalkan tindakan Mohd Saiful membuat sumpah di masjid dan pelik mengapa dia amat keberatan atau tidak menangkis tuduhan terhadapnya.

"Anwar telah mendakwa oleh kerana hubungan intim tu, Farah Azlina mempunyai akses kepada kertas siasatan (IP) dan Mohd Saiful, saksi utama pendakwaan, dibenarkan mengetahui kandungan IP," kata Karpal.

Dia juga memberitahu mahkamah bahawa kandungan afidavit Mohamad Hanafiah sebahagian besarnya adalah keratan akhbar, dengan mendakwa apa sahaja dilaporkan cuma khabar angin.

Mahkamah perlu menolak tuduhan terhadap Anwar oleh kerana kesemua tuduhan terhadapnya sama seperti menyalahguna proses mahkamah," kata Karpal.

Bagaimanapun, Mohamed Yusof, berhujah Anwar dalam afidavitnya perlu menunjukkan bagaimana dakwaan hubungan intim telah menyebabkan prejudis kes liwatnya serta bagaimana hubungan itu menjejaskan integriti pasukan pendakwaan.

Beliau mengemukakan bahawa kandungan afidavit Anwar itu tidak bernilai kerana tidak ada keterangan bagi menyokong dakwaan tersebut.

Beliau menegaskan Mohamad Hanafiah secara jelas menyatakan Farah Azlina cuma sebagai jurutaip dan membantu melaksanakan tugas am dalam pasukan pendakwaan dan dia sahaja bertanggungjawab ke atas kertas siasatan.

Katanya Farah Azlina menyertai pasukan pendakwaan pada Januari lepas, menggantikan DPP Shamsul Sulaiman, yang memilih untuk bersara awal.

Katanya jika pun Mohd Saiful mempunyai akses kepada dokumen itu, ia tidak menjejaskan perbicaraan kerana saksi itu telahpun memberi keterangan di mahkamah.

Keterangan Mohd Saiful di mahkamah adalah pengalaman peribadinya, katanya.

Mahkamah akan mendengar hujahan pembelaan mengenai merit menggugurkan tuduhan terhadap Anwar esok. - BERNAMA

Artikel Lain