suria

Kejayaan Koperasi Sekolah Malaysia Jadi Contoh Rantau Asia

BERA: Kejayaan koperasi sekolah menyemai budaya keusahawanan di kalangan pelajar di negara ini telah menarik minat negara-negara di rantau Asia untuk mencontohinya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia ini yang mempunyai koperasi di peringkat sekolah manakala kebanyakan negara lain di seluruh dunia hanya mempunyai koperasi di peringkat universiti.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pelajar di negara ini amat bertuah kerana pada usia seawal 12 tahun sudah boleh mendaftar sebagai ahli koperasi dan mengambil bahagian secara aktif dalam mengurus perniagaan melalui kegiatan koperasi.

Katanya negara Fiji, India dan Jepun yang berhasrat menubuhkan koperasi sekolah telah membuat kajian dan mempelajari selok-belok pengurusan koperasi sekolah di Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) manakala Korea Selatan, Thailand dan Singapura juga telah mengadakan lawatan ke koperasi-koperasi sekolah di negara ini.

Selain negara berkenaan, Iran juga telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Malaysia untuk program di bawah koperasi sekolah iaitu Pelancongan Koperasi Sekolah, katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Koperasi Sekolah 2010 peringkat kebangsaan bertemakan "Kreativiti dan Inovasi Memperkasakan Koperasi Sekolah" di Sekolah Menengah Kebangsaan Bera Bandar 32, di sini Isnin.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Yang Dipertua Angkasa Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum.

"Usaha-usaha negara itu menunjukkan keyakinan mereka terhadap organisasi, penubuhan serta pengurusan koperasi sekolah di negara kita yang amat tersusun di bawah kawal selia Angkasa dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata koperasi sekolah merupakan landasan terbaik untuk menyemai budaya koperasi, perniagaan dan keusahawanan di kalangan pelajar kerana melalui bimbingan konsisten daripada pihak Angkasa dan SKM, mereka mampu menjadi pewaris kepimpinan koperasi dan bakal usahawan negara pada masa depan.

Katanya pelbagai program dan projek berkaitan pendidikan perniagaan dan keusahawanan serta ekonomi yang dilaksanakan oleh koperasi sekolah terbukti mampu menjana kreativiti dan inovasi pelajar secara aktif.

Pendidikan dan latihan menerusi kegiatan koperasi sekolah banyak membantu pelajar mendalami ilmu dan kemahiran tentang selok-belok perniagaan sejak di bangku sekolah lagi dan seterusnya membentuk sahsiah diri secara positif, katanya.

Beliau berkata sehingga kini sebanyak 2,090 buah sekolah daripada 2,190 buah sekolah menengah seluruh negara telah menubuhkan koperasi sekolah dan itu menunjukkan hasrat Kementerian Pelajaran bagi memastikan semua sekolah menengah menubuhkan koperasi hampir tercapai.

Katanya daripada jumlah 2,090 itu, sebanyak 1,835 buah telah berdaftar sebagai ahli Angkasa dan sehubungan itu beliau menyeru kepada koperasi yang belum berdaftar supaya segera berbuat demikian bagi membolehkan mereka mengikuti program dan latihan yang dianjurkan Angkasa.

"Jika mahu dibandingkan dengan koperasi dewasa, mungkin aset dan nilai saham koperasi sekolah masih lagi kecil namun dengan perancangan yang tersusun dan konsisten...tidak mustahil koperasi sekolah mampu memberi saingan kepada koperasi dewasa.

"Saya berharap koperasi sekolah akan terus unggul sebagai organisasi pembudayaan keusahawanan dan ilmu perniagaan di kalangan generasi muda seterusnya dapat menyaingi sektor-sektor lain pada masa akan datang," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain