suria

Mayat Kerani Sekolah Ditemui Terikat Di Kuala Pilah

KUALA PILAH: Mayat seorang Pembantu Am Rendah ditemui dalam keadaan kaki dan tangannya terikat sementara mulutnya ditutup dengan kain di rumahnya di Jalan Sungai Dua di sini pagi ini. Mayat Nooriza Baharin, 48, juga didapati sudah berbau.

Mayat mangsa ditemui oleh rakan-rakan setugasnya pada pukul 10.45 pagi apabila mereka datang ke rumah mangsa setelah mendapati mangsa tidak datang bekerja di Sekolah Kebangsaan Sungai Dua hari ini.

"Pihak polis yang pergi ke tempat kejadian menjumpai mayat mangsa dengan kaki dan tangannya diikat dengan tali manakala mulutnya ditutup dengan kain.

"Terdapat juga kesan kecederaan di kening dan belakang kepala mangsa dipercayai akibat pukulan dengan objek keras," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Zaki Masroh kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata setakat ini polis percaya motif kes adalah samun kerana pagar di belakang rumah mangsa juga terdapat kesan dipotong.

"Kita dapati telefon bimbit mangsa hilang. Rumah mangsa didapati diselongkar dan saya percaya ada barang yang hilang" katanya. Mangsa dipercayai masih bujang dan tinggal berseorangan di rumah tersebut.

Mohd Zaki berkata kali terakhir mangsa datang bertugas ialah Jumaat lepas. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban. - BERNAMA

Artikel Lain