suria

Perhilitan: Foto Ular Gergasi Sungai Siput Tidak Benar

IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak hari ini menyangkal laporan penemuan seekor ular raksasa di hutan Sungai Siput dekat sini baru-baru ini seperti yang disiarkan oleh sebuah akhbar harian, Rabu.

Pengarahnya, Shabrina Shariff berkata, pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan pihaknya mendapati gambar tersebut berasal dari China malah tiada laporan atau kes penemuan ular raksasa di kawasan berkenaan.

"Kita juga mendapati gambar (yang disiarkan akhbar itu) itu dapat dilihat dalam internet melalui pelbagai laman web...gambar yang berasal dari China itu disebarkan sejak tahun 2009," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut laporan akhbar berkenaan, ular raksasa itu dijumpai oleh sekumpulan pekerja balak di hutan Sungai Siput baru-baru ini dan ular berkenaan kemudiannya dibunuh.

Shabrina berkata, Perhilitan juga sebelum ini pernah melihat gambar seperti itu yang disiarkan oleh sebuah akhbar di Sabah selain laporan mengenai dakwaan penduduk di Paloh Inai, Pahang pada Mac lepas mengenai penemuan ular raksasa.

Beliau berkata, memang terdapat ular besar di Malaysia seperti ular sawa tetapi belum pernah dijumpai ular sebesar itu.- BERNAMA

Artikel Lain