suria

Lewat Dapat Rawatan, Kematian Denggi Meningkat - Tiong Lai

PULAU PINANG: Kes kematian akibat demam denggi semakin meningkat apabila sebanyak 80 kematian direkodkan sejak awal tahun ini hingga Selasa lepas berbanding dengan 62 kematian yang berlaku bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata dalam tempoh itu, sebanyak 23,626 kes demam denggi dilaporkan tahun ini berbanding 24,817 kes tahun lepas.

"Masalah demam denggi memerlukan perhatian yang serius kerana jumlah kematian semakin meningkat tahun ini berbanding tahun lepas," katanya kepada pemberita semasa melawat Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.

Beliau berkata sikap sambil lewa orang ramai yang lambat mendapatkan rawatan adalah antara faktor yang menyebabkan peningkatan kematian.

"Saya harap orang ramai segera mendapatkan rawatan jika ada tanda-tanda demam denggi dan saya juga telah mengarahkan semua doktor agar mengambil langkah segera untuk merawat pesakit demam denggi," katanya.

Liow juga menasihati orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan seperti memastikan kebersihan kawasan tempat tinggal mereka bagi mengelak penularan demam denggi.

"Pihak Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung juga boleh mengadakan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku untuk sama-sama bergotong royong membantu menghapuskan nyamuk aedes," katanya.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata sebanyak 120 unit kuarters untuk kakitangan HPP telah siap dibina.

Katanya kuarters 18 tingkat yang bernilai RM38.8 juta itu dijangka boleh diduduki mulai bulan depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain