suria

Pemandu Lori Beras Terbunuh, Kelindan Cedera Parah Dalam Kemalangan

IPOH: Seorang pemandu lori terbunuh manakala kelindannya cedera parah selepas tertimpa timbunan beras dalam kemalangan di KM 265.7 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Jelapang, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Azisman Alias berkata pemandu lori yang terbunuh dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu ialah Mohd Azam Mohd Nor, 34, dari Kota Bharu, Kelantan.

Beliau berkata Mohd Azam yang cedera parah di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazahnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya ketika di hubungi hari ini.

Sementara itu, Mohd Ridzuan Che Hasan, 18, juga berasal dari Kelantan, kini dirawat di hospital sama.

Azisman berkata, kejadian berlaku ketika lori itu hilang kawalan dan terbalik ketika menuruni bukit kira-kira 2 kilometer dari tol Jelapang.

Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan kedua dua mangsa daripada timbunan beras. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain