suria

Pemangku Raja Kelantan Mahu Polis Utamakan Kes Tembak Pengawal

KOTA BARU: Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra mahu polis meletakkan keutamaan kepada kes seorang pengawal Istana Kelantan, Ramli Mohamad, 50, yang meninggal dunia hari ini setelah ditembak oleh individu yang tidak dikenali pada 1 Mei lalu.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, baginda juga berharap polis menemui petunjuk bagi menyelesaikan segera kes pembunuhan itu.

"Pemangku Raja Kelantan amat berdukacita dengan apa yang berlaku dan baginda berharap polis dapat meletakkan keutamaan kepada kes ini.

"Baginda juga menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Ramli dan merakamkan jutaan terima kasih kepada doktor-doktor pakar daripada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) yang telah bertungkus lumus memberikan rawatan terbaik," katanya kepada pemberita di Rumah Mayat HRPZII di sini.

Ramli meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi HRPZII kira-kira pada pukul 3.30 pagi ini selepas berada dalam keadaan kritikal sejak semalam.

Dalam kejadian 1 Mei lepas, Ramli yang sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah, ditembak oleh seorang suspek yang tidak dikenali di Kampung Kok Keli, Tumpat.

Beliau mengalami kecederaan parah akibat terkena empat das tembakan dari jarak dekat.

Berikutan kejadian itu Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra menitahkan supaya kawalan keselamatan ke atas Sultan Kelantan dipertingkatkan.

Abdul Halim berkata, pakar forensik dijangka tiba dari Kuala Lumpur pada pukul 3 petang ini untuk melakukan bedah siasat ke atas jenazah.

"Jenazah Allahyarham akan dikafankan di hospital dan akan dibawa ke Masjid Muhammadi untuk solat jenazah dan dijangka akan dikebumikan di kampung Allahyarham di Kampung Kok Keli, Tumpat selepas solat Asar," katanya.

Beliau berkata, ketika Ramli menghembuskan nafas terakhir, semua anggota keluarga iaitu isteri Allahyarham Maznah Mustafa dan lima anaknya ada bersama di sisinya.

Katanya, Pemangku Raja Kelantan sempat menziarahi Allahyarham di hospital itu pada pukul 11 malam tadi dan telah memberikan kata-kata nasihat kepada keluarga Allahyarham.

Semalam, baginda telah menghulur sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 kepada Allahyarham sebagai bantuan untuk mengurangkan beban keluarga pengawal istana itu.

Allahyarham adalah kakitangan pejabat Istana Kelantan yang bertugas sebagai Pengawal Keselamatan sejak lebih 17 tahun lalu dan disifatkan sebagai kakitangan yang berdedikasi dan beramanah dalam menjalankan tugasnya.

Sementara itu, seorang anak Allahyarham, Mohd Faris, 19, juga meminta polis mempercepatkan siasatan terhadap kes melibatkan kematian bapanya itu.

"Kami amat bersedih atas apa yang berlaku terhadap bapa kami dan berharap pihak polis dapat mempercepatkan siasatan," katanya.

Abang Allahyarham, Mejar (B) Azmi Mohamad, 54, turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu Allahyarham sehingga menghembuskan nafas terakhirnya itu.

"Ini adalah takdir dan kami menerimanya dengan reda apa yang berlaku," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain