suria

Gaya Kepimpinan Inklusif Najib Pikat Sokongan Kaum Cina

KUALA LUMPUR: Sejak menyandang jawatan perdana menteri setahun lepas, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengamalkan pelbagai pendekatan secara langsung bagi meraih kembali sokongan kaum Cina terhadap kerajaan pusat.

Selain menghadiri majlis tradisi seperti Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, sesi turun padang yang beliau lakukan untuk bertemu mesra dengan rakyat, telah membuahkan hasil yang amat positif.

Gaya kepimpinan Najib ini menawan hati ramai anggota masyarakat Cina, yang telah meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan menyokong Pembangkang pada pilihan raya umum lepas.

Najib mencipta sejarah sebagai perdana menteri pertama Malaysia yang menghadiri perhimpunan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (FECAM), atau lebih dikenali sebagai Hua Zhong -- badan penaung pertubuhan kaum Cina yang amat berprestij dan berpengaruh di negara ini.

"Lawatan perdana menteri ke sekolah bebas Cina, tokong, Chinatown Kuala Lumpur di Jalan Petaling dan kesudian beliau merasmikan festival kebudayaan anjuran Hua Zhong, menggambarkan beliau sebagai pemimpin yang rapat dengan orang Cina (di Malaysia), rapat dengan rakyat," kata presiden Hua Zhong Tan Sri Pheng Yin Huah.

Pheng berkata Hua Zhong, yang turut dianggotai tokoh-tokoh penggerak masyarakat Cina, berpendapat Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Najib mendapat sambutan meluas dalam kalangan masyarakat Cina dan diterima baik oleh orang ramai.

"Saya sangat yakin jika ia (Gagasan 1Malaysia) dilaksanakan sepenuhnya oleh semua pihak, ia akan menghasilkan "buah yang besar" (bagi Malaysia)," katanya.

Sejajar dengan slogan dan semangat 1Malaysia yang beliau perkenalkan, Najib mempamerkan sikap luar biasa yang begitu mengagumkan orang ramai apabila beliau berkunjung ke Pandamaran, yang dahulunya merupakan kampung baru Cina, bagi menghadiri sambutan Tahun Baru Cina Februari lepas.

Tindakan beliau itu dilihat sebagai "memberi muka" atau menghargai masyarakat Cina dan ini sesuatu yang amat baik kerana tindakan "memberi muka" merupakan tradisi mulia dalam budaya Cina, lebih-lebih lagi pada waktu yang dianggap penting seperti ketika menyambut tahun baru.

"Najib memiliki imej yang amat positif dalam kalangan masyarakat Cina. Ini berpunca daripada dua faktor: pertama beliau dilihat bersikap proaktif terhadap isu seharian seperti kesihatan dan pengangkutan. Orang Cina amat menyukainya.," kata penganalisis politik Prof James Chin.

Kedua, kata beliau, kebanyakan anggota masyarakat Cina yang sebelum ini langsung hilang keyakinan terhadap parti berasaskan kaum mereka dalam BN, kini melihat Najib sebagai seorang penyelamat yang sudi mendekatkan diri dengan mereka.

Chin berkata satu-satunya isu yang terbuku di hati kaum Cina sejak sekian lama dan perlu ditangani secara bersungguh-sungguh oleh Najib ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang kadangkala dilihat menjadi batu penghalang dalam pengagihan kekayaaan dan peluang secara lebih adil dalam kalangan rakyat negara ini.

Bagaimanapun, kata beliau, masyarakat Cina memberi respons awal yang amat positif terhadap Model Ekonomi Baru (MEB).

"Pada permukaan, mereka agak berpuas hati dan begitu kepingin untuk mendapatkan butiran lanjut mengenainya," kata beliau.

Ketika Najib menyambut ulang tahun pertama sebagai perdana menteri hari ini, banyak penganalisis politik percaya beliau akan terus mendampingi rakyat, termasuk masyarakat Cina, merasai denyut nadi mereka serta sudi mendengar keluhan dan hasrat mereka yang ingin melihat beliau sebagai pemimpin bagi semua rakyat Malaysia.

Najib juga dilihat sebagai pemimpin yang sentiasa tekun dan tidak jemu-jemu bekerja untuk rakyat.

Bagaimanapun, sesetengah penganalisis berpendapat Najib perlu menerima hakikat bahawa pemikiran generasi masyarakat Cina masa kini mengalami perubahan apabila mereka lebih memberi perhatian terhadap isu dan tidak lagi terikat dengan perasaan setia terhadap parti tertentu.

"Orang Cina hari ini tidak lagi berminat dengan perniagaan semata-mata. Mereka melihat sesuatu perkara dalam perspektif lebih luas, lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda dan berusia pertengahan, yang keprihatinan mereka bukan saja bertumpu pada pekerjaan dan pendapatan, tetapi juga terhadap pendidikan dan masa depan anak-anak," kata seorang penganalisis politik.

Beliau berkata oleh kerana memiliki pemikiran politik yang berbeza daripada ibu bapa mereka, sesetengah pengundi Cina sanggup memberi undi kepada sebuah parti yang memperjuangkan cita-cita untuk menubuhkan negara Islam pada pilihan raya umum lepas dan pilihan raya kecil selepasnya.

"Mereka ada lebih banyak pilihan dan ini menjadikan mereka lebih bebas membuat pilihan dalam arena politik," katanya.

"Jadi, kalau BN ingin menang besar, ia perlu menawan kembali sokongan kaum Cina. Masyarakat Cina amat terikat oleh isu. Sekiranya anda dapat memberi khidmat berasaskan isu, mereka akan menyokong anda. Jika sebaliknya, mereka tidak akan memberi undi kepada anda," kata seorang lagi penganalisis Datuk Cheah See Kian.

Beberapa penganalisis lain pula berpendapat, selepas setahun menerajui pentadbiran negara dan memperkenalkan beberapa perubahan dan transformasi radikal seperti Gagasan 1Malaysia, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Program Transformasi Kerajaan (GTP)dan Model Ekonomi Baru (MEB), kini Najib perlu menampakkkan hasilnya.

"Orang begitu ingin melihat pelaksanaan dan hasilnya. Beliau perlu menunjukkan hasilnya dengan segera. Oleh itu, pada tahun kedua beliau menjadi perdana menteri ini, Najib perlu menunjukkan hasil yang dicapai melalui pelbagai strategi yang telah beliau perkenalkan itu," kata penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian.

Selain menunjukkan hasil, satu lagi cabaran besar yang perlu diatasi oleh Najib ialah menyelesaikan semua masalah yang dihadapi parti komponen BN dan memperkemaskan semula kedudukan parti gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Beliau memerlukan sebuah pasukan kukuh, bukan saja daripada Umno, tetapi juga dari semua parti dalam BN. Najib dianggap sebagai pemimpin popular kerana beliau mudah didekati," kata penganalisis itu sambil menambah bahawa pandangan beliau itu diperkukuh oleh hasil kaji selidik terbaru Merdeka Center for Opinion Research.

Kaji selidik itu menunjukkan bahawa kedudukan Najib kini lebih kukuh berbanding 12 bulan lepas iaitu ketika beliau mula-mula mengambil alih jawatan perdana menteri apabila 68 peratus responden menyatakan mereka berpuas hati dengan prestasi beliau. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain