suria

Ahli Parlimen Bebas: Tak Perlu Pujuk Sertai Umno

KUALA LUMPUR: Umno tidak perlu membuat pelawaan kepada mana-mana bekas Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menyertai parti itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelawaan tidak perlu dibuat kerana pada dasarnya Umno sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja untuk menyertai mereka.

"Saya fikir kita tak perlu dan mempelawa kerana mereka tahu kalau mereka nak masuk pintu tak pernah tutup," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sidang ke-49 Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perkembangan terkini apabila tiga Ahli Parlimen PKR bertindak keluar manakala seorang lagi dipecat daripada parti itu.

Kesemua mereka kini mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas iaitu Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng; Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri; Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, pada peringkat ini beliau menghormati pendirian kesemua wakil rakyat berkenaan yang mahu berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas bagi mengelakkan timbulnya sebarang tuduhan negatif.

"Di peringkat awal ini mungkin mereka berpendapat lebih selesa untuk jadi anggota Bebas... mereka nak elak daripada tuduhan dipujuk oleh pemimpin-pemimpin Umno.

"Mereka ada pendirian sendiri, kita hormati pendirian mereka," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain