suria

Doktor Didakwa Kendali Klinik Bersalin Tanpa Lesen

KLANG: Seorang doktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengendalikan sebuah klinik bersalin yang telah beroperasi selama 30 tahun tanpa dilesenkan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Dr A. Ghandi Rajan, 53, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Dr Ghandi Rajan didakwa mengendalikan sebuah rumah bersalin swasta iaitu Klinik Salina & Pusat Bersalin yang digunakan bagi amalan perubatan tanpa dilesenkan di No: 28, Jalan Tengku Diauddin di sini kira-kira pukul 11.05 pagi, 5 Jun 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3 (f) Akta yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(1)(a)(i) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 23 April untuk sebutan bagi penyerahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sumitha Krishnasamy dan Dr Ghandi Rajan diwakili peguam C.K.Lau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain