suria

Bendahari PKR, 100 Anggota PKR Bandar Tun Razak Sertai UMNO

KUALA LUMPUR: Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR)Norasidi Salim secara rasmi mengumumkan keluar daripada parti itu dan kembali menyertai Umno malam ini.

Turut mengikut jejaknya adalah empat lagi anggota PKR iaitu Timbalan Ketua Bahagian PKR Putrajaya Azmi Hassan, Ketua Penerangan PKR Wilayah Persekutuan Ishak Hamzah, anggota jawatankuasa PKR Putrajaya Daud Ahmad dan penggerak reformist 1999-2008 Mohd Solleh Ibrahim.

"Keputusan ini diambil dengan rela hati tanpa desakan daripada mana-mana pihak. Ianya dibuat setelah difikirkan dengan masak-masak kedudukan kami dalam PKR dan menghalusi perjuangan parti.

"Apa yang kami dapati PKR tidak ada perjuangan membela rakyat yang jelas, malahan setiap tindak tanduk kepimpinan parti diselubungi oleh agenda persendirian," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang keanggotaan kepada Timbalan Presiden Umno, yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada majlis itu, Norasidi turut menyerahkan 100 lagi borang permohonan keanggotaaan Umno daripada anggota PKR bahagian Bandar Tun Razak.

Norasidi berkata pemimpin PKR gagal memperjuangkan nasib rakyat khususnya selepas Pilihan Raya Umum 2008, sebaliknya bertelingkah sesama sendiri seperti yang berlaku di Sabah, Pahang dan Pulau Pinang.

"Kebelakangan ini, kita juga dengar saranan daripada kepimpinan parti PKR seperti Menteri Besar Selangor (Tan Sri Khalid Ibrahim) dan Ketua Penerangan (Latheefa Koya) supaya ahli-ahli PKR yang tidak sehaluan dengan kepimpinan parti, supaya keluar parti," katanya.

Norasidi berkata beliau mengambil keputusan kembali kepada Umno kerana yakin dengan budaya politik parti yang sudah kukuh dan telah melalui onak dan duri dalam perjuangannya.

Malah, beliau yakin Umno dapat mengembalikan kepercayaan rakyat dan mentadbir negara dengan baik demi kesinambungan kesejahteraan rakyat. - BERNAMA

Artikel Lain