suria

Kedah Tubuh Sada Ganti Jabatan Bekalan Air

ALOR SETAR: Kedah telah menubuhkan Syarikat Air Darul Aman (Sada) bagi mengambil alih operasi Jabatan Bekalan Air Kedah yang bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan dan kualiti air di negeri itu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata, penubuhan Sada yang memulakan operasinya bulan lepas adalah selaras dengan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menswastakan bekalan air.

Mengenai sama ada tarif air di Kedah akan dinaikkan selaras dengan penubuhan Sada, Azizan berkata, ia bergantung kepada Span.

"Buat masa ini tiada kenaikan tarif air tetapi jika Span bercadang menaikkannya, kita berharap ia tidak membebankan pengguna kerana kita akan mengikut tarif yang ditetapkan Span," katanya kepada pemberita.

Beliau berharap sebarang kenaikan tarif adalah sekadar dapat menampung operasi Span dan bukannya berasaskan untuk memperolehi keuntungan berlipat ganda.

Azizan berkata, kerajaan negeri telah menyuntik sebanyak RM5 juta kepada Sada bagi melaksanakan operasinya.

Mengenai kawasan yang kini mengalami kesukaran bekalan air katanya, ia disebabkan tekanan air yang rendah kerana musim kemarau.

"Namun sejak beberapa hari lalu Sada telah membekalkan berjuta liter air setiap hari ke kawasan yang terputus bekalan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain