suria

K9 PDRM Bakal Miliki Kepakaran Khusus

KUALA LUMPUR: Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempunyai kepakaran baru dengan berkebolehan mengesan mayat manusia yang disembunyikan terutama yang ditanam atau tenggelam di dalam tasik, laut atau sungai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin berkata, pihaknya akan meminta bantuan kepakaran jurulatih dari Finland bagi melatih anjing unit tersebut terutama jenis Cadaver pada penghujung tahun ini.

"Kita telah dapatkan jurulatih dari Finland untuk melatih anjing tersebut dalam tempoh enam bulan bagi membolehkan anjing unit K9 mempunyai kepakaran dalam penugasan khusus untuk mengesan mayat manusia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Lencana Unit K9 di sini hari ini.

Beliau berkata, selain mengesan mayat, anjing tersebut juga akan turut mempunyai kepakaran mengesan anggota badan manusia termasuk darah.

"Penjenayah mungkin akan sembunyikan perbuatan mereka dengan membuang mayat di tempat-tempat sukar. Dengan adanya kepakaran ini, akan membantu unit K9 mengendalikan kes-kes seperti itu.

"Anjing ini juga akan dibekalkan dengan latihan sehingga berkebolehan mengesan titisan darah yang pastinya akan membantu JSJ memantapkan lagi siasatan terutama di tempat kejadian," katanya.

Mohd Bakri berkata, unit K9 kini mempunyai 145 ekor anjing termasuk 30 ekor anjing yang baru dibeli dari Jerman dan Chezkoslovia pada penghujung Disember tahun lepas iaitu 18 ekor jenis German Shepherd dan 12 ekor lagi jenis Labrador.

"Sebanyak 30 ekor anjing ini yang mula dilatih pada Januari lepas dan akan tamat pada bulan April ini dan kesemuanya dilatih sepenuhnya oleh jurulatih-jurulatih unit K9," katanya.

Anjing unit K9 menjalankan pelbagai tugas khususnya mengesan penjenayah, dadah, senjata api dan bahan letupan yang kini ditempatkan di 20 unit K9 di seluruh negara termasuk tujuh di Sabah dan Sarawak.

Mohd Bakri berkata, selain itu , anjing unit K9 juga turut membantu dalam usaha PDRM menangani jenayah terutama jenayah jalanan yang kini menjadi salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Kita turut menempatkan anjing K9 dalam pencegahan jenayah di kawasan "hot spot" terutama kawasan perumahan, perindustrian dan perniagaan dengan menempatkan dua atau tiga ekor anjing dalam satu-satu masa.

"Kita juga telah mendapatkan maklum balas dari masyarakat di mana 80 peratus daripada 2,000 responden menyatakan setuju dengan kehadiran anjing K9 dalam usaha tersebut terutama bagi menggerunkan penjenayah," katanya.

Untuk memenuhi penugasan K9 yang semakin meningkat katanya, beberapa unit K9 baru telah dibina antaranya di Langkawi, Kedah dan Bintulu, Sarawak yang telah siap dibina dan akan memulakan operasi tahun ini.

"Selain itu dua unit K9 baru turut dirancang pembinaannya iaitu di Sabah dan Perak," katanya yang turut merancang menambah 40 ekor lagi anjing unit K9 pada tahun hadapan.

Selain itu, unit K9 juga turut menerima lapan buah kenderaan baru untuk membawa anjing bagi tugas-tugas pengesanan selain menjalankan rondaan mencegah jenayah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain