suria

7 Kaki Sabung Ayam Ditahan Polis

KUANTAN: Tujuh orang termasuk seorang wanita ditahan kerana terbabit dalam kegiatan perjudian sabung ayam di sebuah hutan di kampung Belukar, Jalan Gambang dekat ini, semalam.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, bertindak hasil maklumat orang awam, sepasukan polis telah melakukan serbuan di kawasan hutan tersebut kira-kira jam 4.30 petang.

"Ketika serbuan dibuat, terdapat kira-kira 30 orang sedang mengelilingi sebuah gelanggang menyabung ayam, mereka terbabit kemudiannya bertempiaran lari selepas diserbu polis.

"Polis bagaimanapun berjaya memberkas empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 dan 48 tahun serta 11 ekor ayam dan wang tunai berjumlah RM2,869, selebihnya (mereka yang lain) berjaya melarikan diri," katanya.

Sebelum itu ketika dalam perjalanan ke gelanggang terbabit, polis memeriksa sebuah kereta yang diletakkan di tepi hutan berkenaan.

Hasil pemeriksaan polis, dua lelaki berusia 32 tahun ditahan kerana mengaku untuk ke kawasan hutan itu bagi tujuan berjudi sabung ayam manakala seorang lagi rakan mereka berjaya melarikan diri bersama seekor ayam dipercayai untuk tujuan perjudian.

Semua suspek katanya, kini disiasat mengikut Seksyen 4(A)(a) dan 7(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain