suria

Mahkamah Tolak Bantahan Bekas Isteri Roslin Hashim

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini diberitahu bahawa antara sebab utama pemain badminton negara, Muhammad Roslin Hashim menceraikan bekas isterinya, Faizah Mohamad, 33, kerana tidak mendapat nikmat seks sebagai suami.

Sebaliknya peguam syarie Roslizam Rahim yang mewakili Roslin, 34, sebagai plaintif memberitahu, anak guamnya berbuat demikian kerana mempunyai alasan yang kukuh bukan sebab yang remeh-temeh selain berasa tertekan sepanjang 12 hari tempoh perkahwinan mereka.

“Alasan defendan yang mana belum bersedia untuk menunaikan kewajipan tersebut memandangkan banyak komitmen lain yang perlu diselesaikan adalah satu alasan yang bersifat pentingkan diri dan membelakangkan plaintif.

“Sekiranya defendan belum bersedia, mengapa defendan bersetuju untuk berkahwin dengan plaintif yang mana soal perkahwinan adalah suatu perkara yang sangat besar dalam hidup seseorang.

“Adalah sangat tidak wajar bahawa defendan memberikan alasan tidak bersedia untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang isteri kepada plaintif malahan ianya juga adalah menyalahi ajaran agama Islam dalam kehidupan berumah tangga,” kata Roslizam dalam hujahan balasnya.

Roslin dan Faizah hadir ke mahkamah bersama peguam syarie masing-masing.

Faizah diwakili oleh peguam syarie Mohd. Amir Nazli Hussin.

Sebelum itu, Mohd Amir berhujah bahawa jika dibicarakan, kes itu hanya akan mengaibkan kedua-dua pihak kerana ia melibatkan isu hubungan seks suami isteri.

"Plaintif mendakwa dalam tuntutannya bahawa dia menceraikan defendan (Faizah) kerana gagal mendapat nikmat seks. Oleh itu, jika tuntutan ini dibenarkan dan segala fakta dibentangkan, ia boleh mengaibkan kedua-dua pihak," katanya.

Beliau juga berkata tindakan plaintif akan membudayakan tuntutan ganti rugi perkahwinan oleh suami terhadap bekas isteri dan prosiding seperti ini perlu dibendung. "Sudahlah defendan mendapat status janda berhias selepas 12 hari berkahwin, apakah dia perlu dipersalahkan dan dibebani dengan tuntutan yang tidak bermaruah ini?" kata Mohd Ami

Bekas isteri pemain badminton negara itu hari ini gagal mengetepikan tuntutan ganti rugi perkahwinan sebanyak RM53,460 yang difailkan bekas suaminya itu setelah Mahkamah Tinggi Syariah menolak bantahan awal wanita terbabit.

Mahkamah memerintahkan supaya satu perbicaraan diadakan bagi membolehkan Roslin dan Faizah mengemukakan keterangan dan bukti berhubung tuntutan itu.

Hakim Syarie Mohd Radzi Abdul Latif menetapkan kes itu dibicarakan pada 23 dan 24 Mac ini serta memerintahkan supaya ia dijalankan secara tertutup.

Pada 21 Oktober 2009, Faizah memfailkan notis bantahan awal di Pejabat Pendaftar Mahkamah itu berhubung tuntutan ganti rugi perkahwinan Roslin melebihi RM50,000 termasuk mas kahwin berjumlah RM15,000.

Proses sulh (perbincangan) mengenai kes tuntutan ganti rugi perkahwinan lebih RM50,000 yang difailkan Roslin terhadap Faizah pada 25 Ogos 2009 tidak menemui sebarang jalan penyelesaian setelah Faizah tidak bersetuju dengan tuntutan yang difailkan.

Roslin Hashim memfailkan permohonan ganti rugi lebih RM50,000 meliputi seluruh wang hantaran dan perbelanjaan perkahwinan terhadap bekas isterinya, Faizah pada 12 Ogos 2009.

Roslin dan Faizah mula berkenalan sejak Hari Raya Haji pada tahun 2005 di rumah produser Raja Azmi.

Selepas ditunangkan pada 1 November 2008, Faizah mula rapat dengan Roslin dan mula keluar berdua sebelum bernikah pada 30 Januari 2009.

Perkahwinan Roslin dan Faizah telah menimbulkan kontroversi apabila Roslin mengaku melafazkan cerai terhadap isterinya selepas 12 hari mereka bernikah dan menyatakan tiada persetubuhan berlaku antara mereka berdua sepanjang perkahwinan.

Berikutan itu, Faizah telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya manakala Roslin juga berbuat demikian di Mahkamah Rendah Syariah yang sama.

Roslin dan Faizah telah bercerai secara talak 'Bain Sughra' dengan satu talak pada 12 Mei 2009.

Talak 'Bain Sughra' adalah talak yang telah diucapkan oleh suami kurang daripada tiga kali tetapi pasangan tidak boleh rujuk semula melainkan dengan pernikahan yang baru walaupun isterinya di dalam edah.

Artikel Lain