suria

Hanya Lebih Kurang 70 Yang Demo Bukan Lebih 200

KUALA LUMPUR: Hanya lebih kurang 70 orang sahaja yang berdemo di hadapan Sogo bukan 200 orang sepertimana yang dilaporkan, demikian kata seorang pelajar yang turut menyaksikan kejadian semalam sehingga menyebabkan sembilan orang ditahan polis kerana berdemo secara haram.

Sembilan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ditahan semalam semasa berhimpun secara haram di depan kompleks membeli-belah Sogo dekat sini kerana membantah proses pilihan raya kampus yang didakwa tidak adil termasuk undian secara elektronik (e-voting).

Bantahan tersebut bermula di sekitar Dataran Merdeka kira-kuira pukul 11 pagi sebelum berarak sepanjang Jalan Raja Laut ke kompleks membeli-belah tersebut yang terletak kira-kira 500 meter dari dataran berkenaan.

"Saya tidak ambil bahagian dalam demonstrasi semalam tetapi saya turut berada di hadapan Sogo secara kebetulan kerana keluar membeli kasut sukan.

"Tapi pada kiraan saya jumlah yang berhimpun tidak lah seramai yang digambarkan oleh media cuma dalam kiraan saya sekadar 70 orang sahaja," kata pelajar itu yang menghubungi mStar Online hari ini.

Pelajar jurusan Sains Sukan dari UiTM itu yang enggan namanya disebut turut berkata, dia hairan mengapakah kumpulan tersebut ingin membuat kacau sedangkan sistem e-voting yang diperkenalkan di universiti telah terbukti berjaya memudahkan sistem kiraan undi di samping menjimatkan kos serta masa.

"Soal dakwaan siapa undi siapa tak timbul dan tidak perlu dijadikan isu kerana calon yang bertanding bukanlah atas tiket mewakili parti sepertimana pilihan raya umum tetapi mewakili kolej dan bertanding atas kapasiti individu," ujarnya lagi.

Dalam kejadian semalam, mereka yang ditahan termasuk empat pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), masing-masing dua dari Universiti Malaya (UM) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) serta seorang pelajar perubatan dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Sumber Kementerian Pengajian Tinggi mengesahkan mereka merupakan pelajar dari beberapa IPTA di sekitar Lembah Kelang.

"Kumpulan itu juga dipercayai yang sama berhimpun di bangunan kementerian di Putrajaya pada 15 Januari lalu sebelum menyerahkan memorandum berkaitan isu yang sama," kata sumber itu lagi kepada mStar Online di sini hari ini.

Mereka yang ditahan ialah Hilman Idham (Fakulti Sejarah, UKM), Mohd. Aizat Mohd. Salleh (Akademi Pengajian Islam (API) UM), Mohammad Za'im Mustapha (Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM), Ahmad Shukri Kamarudin (FPI KUIS), Ahmad Syukri Che Razab (Fakulti Syariah dan Undang-Undang Islam KUIS), Mohd. Idris Mohd. Yusoff (APIUM), Mohd. Pikhri Harun (FPIUKM), Syahriul Ismail (FPIUKM) dan Mohd. Ridhuan Muhammad Jamil (Fakulti Perubatan, USM).

Antara kumpulan yang terlibat ialah Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (Bantah) and Pro-Mahasiswa.

Menurut sumber itu lagi, kumpulan pelajar berkenaan diarah bersurai sebaik tiba di Sogo dan polis terpaksa bertindak menahan mereka kerana enggan bersurai walaupun telah diarahkan berbuat demikian.

Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk disoal siasat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain