suria

Mara Lanjut Diskaun Bayaran Balik Pinjaman Sehingga 31 Jan

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) melanjutkan diskaun 30 peratus bagi bayaran balik pinjaman institusi itu sehingga 31 Januari ini.

Pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata tawaran itu adalah lanjutan daripada penawaran pemberian insentif yang dibuat mulai 1 September hingga 31 Disember 2009 sempena sambutan kemerdekaan Malaysia ke-52 tahun lepas.

"Pemberian insentif 30 peratus dihadkan kepada peminjam Pembiayaan Perniagaan yang diluluskan pinjaman dan pembiayaan sebelum September 2006 tidak termasuk pinjaman dan pembiayaan kontrak," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mara juga akan memperluaskan pemberian insentif 20 peratus kepada peminjam yang sedang diambil tindakan undang-undang atau penguatkuasaan oleh Mara termasuk tindakan mahkamah.

Sejak insentif itu diperkenalkan sehingga 31 Disember lepas, Mara mengutip bayaran balik sebanyak RM10.6 juta.

Idris berkata peminjam, bekas penyewa dan penghutang boleh membuat permohonan pemberian insentif dengan mengisi borang berkaitan yang boleh diperoleh dari Pejabat Mara Daerah, Pejabat Mara Negeri, Bahagian Kawalan Kredit (Ibu Pejabat Mara), Bahagian UndangUndang (Ibu Pejabat Mara) dan laman web Mara.

Bayaran balik sekaligus hendaklah dibuat secara tunai, cek bank atau deraf bank di pejabat Mara daerah, negeri dan ibu pejabat, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain