suria

Tren Baru LRT Mulakan Perkhidmatan

GERABAK BARU... Tren kembar empat gerabak baru versi "Bombardier Transportation's Advance Rapid Transit Mark II" milik Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd melewati Stesen Bangsar pada hari pertama di Stesen Bangsar, hari ini. -- fotoBERNAMA
GERABAK BARU... Tren kembar empat gerabak baru versi
GERABAK BARU... Tren kembar empat gerabak baru versi "Bombardier Transportation's Advance Rapid Transit Mark II" milik Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd melewati Stesen Bangsar pada hari pertama di Stesen Bangsar, hari ini. -- fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Didorong oleh hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melihat mutu pengangkutan awam dipertingkatkan sejajar dengan konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Syarikat Prasarana Negara Berhad, pengendali sistem Rel Transit Ringan (LRT) hari ini memperkenalkan tren baru yang mampu membawa lebih ramai penumpang.

"Ini adalah hadiah Tahun Baru kami kepada orang ramai," kata pengarah urusan kumpulan Prasarana, Datuk Idrose Mohamed kepada pemberita yang turut menaiki tren baru itu dari Kelana Jaya ke Bangsar.

Tren yang mempunyai empat koc itu mampu membawa 800 penumpang berbanding 400 penumpang yang dibawa oleh tren dua koc sekarang. Di waktu puncak, ia boleh membawa sehingga 950 orang.

Suri rumah, Teo Joo Pheng, 51, adalah penumpang pertama tren baru itu apabila beliau naik di stesen Kelana Jaya pada 10.30 pagi untuk ke Pasar Seni di pusat bandar.

"Saya guna LRT kerana ia lebih mudah daripada mengharungi kesesakan lalulintas dan masalah mencari tempat letak kereta jika saya memandu," kata Teo.

Idrose berkata, penggunaan tren baru itu dipercepatkan setelah Perdana Menteri mengarahkan supaya mutu perkhidmatan pengangkutan awam dipertingkatkan selepas beliau turun padang menaiki tren LRT pada 25 Disember lepas.

"Kami menempah 35 set tren yang mempunyai empat koc ini. Tiga daripadanya memulakan perkhidmatan hari ini manakala yang lain belum tiba dan sesetengahnya sedang diuji," katanya.

Tren tanpa pemandu itu adalah versi terbaru daripada jenis Bombardier yang reka bentuknya dibuat di Kanada manakala 65 peratus pemasangannya dibuat di Mexico dan 35 peratus di Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain