suria

Pusat Urut Seks Diserbu, 15 Wanita Warga China Ditahan

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat urut yang berselindung di sebalik perniagaan urutan kaki atau refleksologi di Kepong di sini diserbu kerana menjalankan kegiatan urut seks manakala 15 tukang urut wanita turut ditahan awal pagi tadi.

Ketika serbuan jam 12.20 pagi itu, terdapat 10 orang pelanggan lelaki di pusat itu yang terletak di Jalan Kepong Prima, termasuk seorang pelanggan yang sedang leka bersama seorang tukang urut dalam sebuah bilik.

Terdapat 14 buah bilik dan setiap bilik dipisahkan oleh dinding papan di dalam premis yang terletak di tingkat bawah rumah kedai tiga tingkat itu.

Seramai 15 orang tukang urut wanita warga China yang berumur antara 20 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi yang berakhir sejam kemudian kerana tidak memiliki pasport.

Turut ditahan penjaga mereka serta sepuluh orang pelanggan bagi membantu siasatan. Pusat urut itu difahamkan mengenakan bayaran sebanyak RM40 bagi urutan refleksologi, RM60 urutan badan, oral seks RM80 dan RM150 untuk seks.

Menurut jurucakap polis, pusat itu sudah dua kali diserbu manakala cawangannya di Rawang telah ditutup selepas diserbu polis pada 10 November lepas.

"Pusat ini telah beroperasi sejak tiga tahun lalu dan turut mempunyai sebuah lagi cawangan. Terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di luar premis," katanya ketika ditemui di sini.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain