suria

Warga Asia Barat Rompak Kedai Emas Dipercayai Sindiket Antarabangsa

KUALA TERENGGANU: Lima warga Asia Barat yang terlibat dengan rompakan barangan kemas bernilai RM1 juta di sebuah kedai emas di Pasar Kedai Payang Arab Khamis lalu dipercayai merupakan anggota sindiket antarabangsa yang aktif melakukan kegiatan itu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata sindiket tersebut cekap dan pintar, serta sering memantau pergerakan pembekal emas untuk mencari kelemahan atau kelalaian sebelum mereka mengambil kesempatan merompak.

"Bagaimanapun kita telahpun mengenalpasti identiti mereka yang terlibat dalam rompakan itu dan yakin akan dapat menahan mereka yang berkenaan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat ASP kepada 22 pegawai polis di sini hari ini.

Mohd Shukri berkata siasatan polis mendapati dalam kejadian berkenaan, lima suspek termasuk seorang wanita itu dipercayai telah mengekori pembekal emas dari Kuala Lumpur untuk menghantar bekalan ke kedai emas di Kuala Terengganu.

Katanya mereka kemudian mengambil kesempatan kawalan keselamatan yang longgar di kedai berkenaan untuk melakukan rompakan itu.

Sindiket terbabit katanya dipercayai bukan kali pertama melakukan perbuatan tersebut dan polis masih menyiasat penglibatan sindiket ini dalam kes-kes rompakan melibatkan warga asing sebelum ini.

Beliau berkata keselamatan kedai emas di Pantai Timur terutama Terengganu sangat longgar dan tidak dititikberatkan oleh peniaga yang dianggap sebagai peniagaan kedai runcit dengan dikendalikan oleh kalangan keluarga mereka sendiri.

Malah, katanya kebanyakan kedai emas di Pasar Payang juga tidak mempunyai pengawal keselamatan.

"Saya sekali lagi menasihatkan pemilik kedai emas di negeri ini supaya menyediakan kawalan keselamatan yang lebih rapi seperti memasang CCTV, mengupah pengawal keselamatan selain ruang pameran barang kemas mempunyai jejari besi bagi menghalang dan merumitkan perompak," katanya.

Beliau turut menasihati pemilik kedai emas, stesen minyak dan kedai runcit supaya lebih berhati-hati apabila didatangi warga asing untuk membeli barang atau menukar duit, kerana mereka mempunyai kepakaran memperdaya tanpa disedari oleh tuan kedai. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain