suria

Lebih 300 Penduduk Kampung Kawah Terputus Hubungan Akibat Jambatan Mendap

KUANTAN: Lebih 300 penduduk Kampung Kawah, Sungai Lembing dekat sini terputus hubungan dengan jalan besar ke bandar Kuantan apabila jambatan utamanya mendap dan tidak dapat dilalui kenderaan kecuali motosikal akibat ditenggelami air dalam kejadian banjir malam semalam.

Jambatan kayu sepanjang 80 meter dan bernilai RM1 juta itu mengalami keadaan demikian buat kali kedua dalam tahun ini di mana kali pertama ia berlaku pada Januari lepas.

Seorang penduduk Kampung Kawah, Ismail Abas, 64, berkata penduduk kampung berkenaan hanya sempat menggunakan jambatan itu hanya selama lapan bulan selepas ia siap dibina pada April lalu selepas jambatan yang sebelumnya runtuh, juga akibat banjir.

Katanya keadaan itu menyebabkan peneroka serta pemilik kebun sayur dan kelapa sawit di kawasan itu tidak dapat membawa keluar hasil mereka ekoran kegagalan lori pengangkut melaluinya kerana bimbang ia akan runtuh sekali lagi.

"Masalah jambatan runtuh dan mendap ini berlaku sudah lama, ini menyusahkan penduduk di kawasan kampung ini untuk bergerak dan hasil kebun tidak dapat dikeluarkan menyebabkan kami rugi di mana ada lebih 100 hektar kebun dan ladang milik penduduk kampung di kawasan ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ismail yang menetap di kampung itu sejak 30 tahun itu berkata, penduduk kampung sudah lama meminta supaya dibina jambatan konkrit namun sehingga kini tidak dipenuhi.

Mohd Daud Mohd, 50, dari Kuantan yang memiliki kebun seluas 36 ekar di Kampung Kawah berkata akibat kejadian itu dia tidak dapat mengeluarkan hasil kelapa sawitnya.

Sehubungan itu dia meminta supaya wakil rakyat di kawasan itu agar dapat menangani masalah tersebut secepat mungkin bagi memudahkan pergerakan penduduk kampung selain mengembalikan semula sumber pendapatan mereka.

Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Lembing Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah berkata pihaknya akan menggantikan jambatan kayu itu dengan jambatan konkrit yang bernilai RM2 juta tidak lama lagi.

Katanya dua lagi jambatan yang sama juga akan dibina di Sungai Lembing dan Sungai Kenau dengan nilai yang sama, dan beliau meminta penduduk supaya bersabar. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain