suria

Ahmad Said Nafi Desakan Pihak Luar Punca Beliau Bersara Awal

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan menafikan persaraan awal beliau daripada jawatan itu disebabkan oleh tekanan dan desakan orang luar atau parti politik.

Beliau berkata persaraannya itu atas sebab peribadi dan kehendaknya sendiri setelah sekian lama berkhidmat dalam suruhanjaya itu dan bukannya kerana orang lain.

"Saya letak jawatan bukan sebab tertekan atas desakan sesiapa atau parti politik tetapi atas sebab peribadi dan kehendak saya sendiri. Lagi pun saya dah lama berkhidmat dalam SPRM," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Said berkata persaraan awal beliau itu dibuat bagi memberi laluan kepada penggantinya dan untuk meluangkan masa bersama keluarga.

"Dah lama saya rancang nak bersara tetapi tunggu masa yang sesuai. Sebelum ini saya sibuk dengan kerja, jadi sekarang saya nak luangkan lebih masa dengan keluarga," katanya yang telah berkhidmat hampir 34 tahun dalam suruhanjaya itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR), sejak 1975.

Semalam Ahmad Said mengemukakan notis kepada Pejabat Perdana Menteri untuk memendekkan tempoh perkhidmatannya dalam suruhanjaya itu sehingga 31 Dis ini sedangkan perkhidmatannya sepatutnya tamat pada 25 Mei tahun depan.

Bagi menggantikan tempatnya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Datuk Abu Kassim Mohamed akan dilantik ke jawatan itu berkuatkuasa 1 Jan tahun depan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain