suria

KD Seri Inderapura Terbakar Akibat Litar Pintas - Ahmad Zahid

BAGAN DATOH: Kapal pendarat terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Seri Inderapura terbakar pada 8 Okt lepas di jeti Pangkalan TLDM di Lumut akibat daripada litar pintas, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pasukan penyiasat telah mengenal pasti punca kebakaran daripada kerosakan sistem pendawaian kerana kapal itu berusia 40 tahun.

Katanya kementerian itu mempunyai pilihan sama ada kapal terbabit akan dijadikan sebuah lagi Muzium TLDM atau dijual sebagai peralatan terpakai.

"Bagaimanapun, kementerian akan mendapat nasihat daripada Jabatan Audit Negara mengenai pilihan yang akan dilakukan," katanya kepada pemberita selepas Program 1Malaysia di sini semalam.

Katanya usaha untuk menggantikan kapal itu sedang dijalankan dan kementerian sedang mengenal pasti kapal pelbagai guna yang akan diperolehi sama ada dari Korea, Perancis atau Jerman.

Ahmad Zahid berkata selain itu kementerian juga akan mengenal pasti kapal yang setaraf dengannya dari negara lain namun keutamaan akan diberi kepada kapal-kapal yang baru.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan juga akan membeli kapal baru yang akan menggantikan KD Seri Inderapura menerusi tender terbuka atau terpilih serta akan berhubung terus dengan syarikat pengeluar kapal itu tanpa menggunakan khidmat ejen tempatan seperti amalan biasa.

Katanya kos pembelian kapal akan diuruskan oleh Kementerian Kewangan atas permintaan yang diajukan oleh Kementerian Pertahanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan.

Oleh kerana pembinaan kapal baru akan mengambil masa dalam tempoh 48 hingga 60 bulan, persiapan awal telah dilakukan untuk menggantikan kapal Inderapura yang terbakar itu.

Katanya ketika lawatan kerja ke Korea Selatan baru-baru ini, beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan negara itu dan mereka bersetuju untuk memberikan kapal mempunyai fungsi yang sama yang boleh digunakan oleh TLDM untuk beberapa waktu sebelum kapal baru diperolehi.

"Pemberian ini adalah sebagai tanda persahabatan yang akrab dan keprihatinan antara Malaysia dengan Republik Korea Selatan," katanya.

Katanya cadangan untuk menenggelamkan KD Seri Inderapura sebagai tukun tiruan di perairan Pulau Sembilan telah dibatalkan kerana kapal itu terlalu besar dan dikhuatiri akan dilanggar oleh kapal lain yang melalui di kawasan tersebut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain