suria

Ling Liong Sik patah tangan kanan kerana terjatuh

PETALING JAYA: Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik terjatuh di kediamannya tengah malam tadi mengakibatkan tangan kanannya patah.

Bekas Presiden MCA itu ditemani isterinya Toh Puan Ena Ling mendapatkan rawatan di Hospital Assunta di sini tengah hari ini.

"Saya terjatuh di rumah tengah malam tadi, pada mulanya saya rasa tak jadi masalah, tapi tangan kanan saya agak sakit kemudian, justeru itu terpaksa mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di hospital hari ini.

Katanya menurut doktor, tangannya itu akan sembuh dalam satu atau dua minggu dan menurutnya keadaan beliau tidak serius dan hanya perlu berehat di rumah.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA esok dan dakwaan ada "kuasa ketiga" yang mahu peletakan jawatan presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dan timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang kini digantung parti, Dr Ling enggan mengulas.

Mengenai dakwaan beliau semalam memanggil sidang media untuk membuat pengumuman penting, bekas presiden MCA itu menegaskan khabar angin itu tidak berasas. BERNAMA

Artikel Lain