suria

Hukuman penjara 10 tahun ke atas dua bekas pengurus besar Tabung Haji dikekalkan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun ke atas dua bekas pengurus besar Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) Datuk Mohd Amin Sidek dan Datuk Mohammad Shafie yang didapati bersalah melakukan pecah amanah dan tipu melibatkan RM200 juta, lapan tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Ab Aziz berkata Hakim Mahkamah Sesyen Akhtar Tahir tidak terkhilaf atau silap daripada segi undangundang dan fakta ketika mensabitkan dan menjatuhkan hukuman itu ke atas kedua-dua mereka.

Ketika menolak rayuan keduadua mereka, Zainal Azman berkata hakim itu telah membuat keputusan untuk mensabit dan menjatuhkan hukuman itu berdasarkan fakta yang betul dan tepat.

Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan mereka untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara sehingga esok.

Mohd Amin dan Mohammad didapati bersalah dan dihukum pada 23 Jan 2007 terhadap tuduhan menipu dua bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika itu, Tan Sri Abdul Hamid Othman dan Brig Jen (B) Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin, di JPM Putrajaya, antara 29 Jun 2000 dan 27 Julai 2001.

Mereka juga disabitkan ke atas tuduhan kedua iaitu melakukan pecah amanah masingmasing sebanyak RM150 juta dan RM50 juta wang milik Tabung Haji.

Mereka didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Bangunan Tabung Haji, di Jalan Tun Razak pada tahun 2000 dan tahun 2001.

Mohd Amin, 58, dan Mohammad, 59, bagaimanapun dibebas dengan ikat jamin sebanyak RM500,000 sementara menunggu rayuan mereka di Mahkamah Tinggi.

Dalam penghakiman lisannya, Zainal Azman berkata pendakwaan berjaya membuktikan keduadua mereka mempunyai niat bersama iaitu mereka mengetahui sebahagian pelaburan dalam Metrowangsa Asset Management (MAM) akan dilaburkan ke dalam dagangan matawang asing (Forex).

Namun demikian, fakta material ini tidak dinyatakan dalam kertas kerja yang dibentangkan sama ada di peringkat Jawatankuasa Kajian Pelaburan atau di Lembaga Pengarah Tabung Haji, dan keduadua mereka langsung tidak memaklumkan mengenai perkara ini ketika mesyuarat dijalankan, kata Zainal Azman.

Pesuruhjaya Kehakiman itu turut berkata mereka mempunyai peluang untuk memaklumkan tentang fakta material itu sebelum sampai ke peringkat menteri tetapi memilih untuk menyembunyikannya.

Perbuatan mereka menunjukkan dengan jelas niat bersama mereka untuk menipu, dan dua bekas menteri berkenaan tidak akan meluluskan pelaburan itu sekiranya mereka tidak menyembunyikan fakta material, katanya.

Zainal Azman berkata keduadua mereka dikatakan menyembunyikan fakta material bahawa sebahagian daripada wang yang dipohon akan digunakan untuk tujuan pelaburan dalam dagangan matawang asing sedangkan mereka mempunyai pengetahuan mengenai fakta material tersebut.

Bagi kesalahan pecah amanah, Zainal Azman berkata mereka telah melanggar undangundang mengikut Seksyen 20(2) Akta Lembaga Tabung Haji 1995 di mana mereka membuat pembayaran kepada MAM sebelum mendapatkan kelulusan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Pelaburan sebanyak RM50 juta dimasukkan ke dalam akaun MAM pada 14 Julai 2000 manakala kelulusan menteri hanya diperoleh pada 2 Ogos 2000. Sebahagian wang itu iaitu sebanyak RM20 juta kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Asasi Trade.

"Dana LTH untuk pelaburan tambahan RM150 juta pula dimasukkan ke dalam akaun Asasi Trade iaitu sebanyak RM50 juta dan RM25 juta ke dalam akaun Mimos," kata Zainal Azman. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain